
FENOMENA mencari jodoh di platform media sosial seperti Facebook, Twitter, TikTok termasuk Threads bukanlah sesuatu perkara baharu dalam kalangan masyarakat tempatan.
Trend itu juga memerlukan mereka mendedahkan profil diri dan berkongsi ciri-ciri pasangan idaman di ruang maya.
Selain menjadi medium berhubung dengan mudah, pendekatan tersebut sering menjadi pilihan membantu mereka mengenali calon dengan lebih pantas.
Mencari jodoh di media sosial menjadi trend dalam kalangan wanita. — Gambar hiasan
Tidak kira lelaki atau wanita, rata-ratanya dilihat tanpa segan silu menyatakan hasrat hati untuk mencari pasangan di platform sedemikian.
Malah, lebih membimbangkan apabila kaum wanita berstatus ibu tunggal turut tidak terlepas dan dengan mudah melakukan sesi taaruf secara maya.
Mengulas lanjut tentang perkara itu, pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin menegaskan khususnya buat para wanita beragama Islam untuk tidak berlebih-lebihan dalam mencari pasangan di media sosial.
Menurutnya, walaupun ia tidak salah di sisi syarak namun tetap berpotensi mendedahkan wanita kepada pelbagai risiko, termasuk penipuan dan gangguan.
"Bila kita menguar-uarkan diri secara terbuka, kita tidak dapat pastikan siapa yang mendekati kita itu benar-benar jujur.
"Ada risiko menjadi mangsa penipuan atau berdepan individu yang mempunyai niat tidak baik," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata, dengan zaman sekarang yang penuh dengan fitnah dan tipu daya, perkara tersebut secara tidak langsung membuka ruang bahaya terutama pada wanita.
Ustazah Asmak Husin
Lebih parah apabila melihat wanita berstatus ibu tunggal melakukan perkara yang sama.
"Jenis yang mewawakan diri secara terbuka tapi dengan cara tidak elok ini lagilah dia melibatkan maruah dan sifat malu seorang wanita.
"Ada yang siap cuba goda suami orang buat siarang langsung pukul 2 hingga 3 pagi.
"Sebenarnya itu dapat menjatuhkan martabat kita sebagai wanita," jelasnya.
Justeru, beliau menyarankan agar wanita menggunakan platform mencari jodoh yang berautoriti dan patuh syariah.
Ia bertujuan bagi menjaga maklumat peribadi, mengawal interaksi berlebihan, pengesahan identiti serta memastikan keselamatan diri.
Baginya, cinta bukanlah sekadar memenuhi keperluan nafsu, tetapi tanggungjawab dan amanah besar buat setiap manusia.
"Kita bercakap tentang cinta yang membawa kepada akhirat, mendekatkan diri pada ALLAH, membawa pengorbanan dan membetulkan diri ke arah kebaikan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram