Demi jaga nenek demensia, bekas cef restoran Michelin sanggup tinggalkan karier, buka kafe kecil dalam rumah


  • Bisnes
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Jin Fang (kanan) banyak meluangkan masa bersama neneknya sambil menjalankan perniagaan kecil-kecilan di rumah. — Agensi

 

 

DARI dapur Michelin ke ruang tamu rumah, bekas cef restoran mewah, Les Amis, Singapura, Chia Jin Fang kini menguruskan perniagaan secara kecil-kecilan.

Wanita berusia 29 tahun itu merupakan pemilik kafe, The Noob Coffee yang beroperasi dari rumah flatnya di Boon Lay, Singapura.

Perjalanan kulinarinya bermula di bangku sekolah menengah apabila seorang guru mendaftarkannya dalam program memasak untuk membantu mendapat tempat di sebuah syarikat terkemuka.

BACA LAGI: Romantiknya...Ameera, kakak, Sharnaaz 'terbang' ke Jakarta, beri sokongan kekasih lawan tinju

BACA LAGI: Anak Fazura pun kena tempias, kata-kata negatif pada si kecil, trauma bawa hingga dewasa, elak penderaan verbal

Chia Jin Fang pemilik kafe menjual minuman dari rumah. — Agensi

Dia kemudiannya menamatkan pengajiannya dalam Seni Kulinari Barat di ITE College West, Singapura.

Mula menyertai Les Amis sebagai cef pelatih berusia 18 tahun, Jin Fang berjaya menjawat jawatan cef profesional sehingga usianya 22 tahun.

Pernah cuba untuk bekerja di restoran lain beberapa tahun selepas itu, Jin Fang bagaimanapun kembali ke Les Amis ketika berusia 26 tahun sebelum meninggalkan industri tersebut secara rasminya pada Mac 2025.

Jin Fang (dua dari kiri) ketika berkhidmat di Les Amis. — Agensi

Tinggalkan kerjaya mewah demi nenek

Selepas tujuh tahun bekerja dalam dunia kulinari bertaraf tinggi dan pernah menyandang jawatan sous chef iaitu pembantu cef kedua di dapur di restoran Les Amis dengan tiga bintang Michelin, Jin Fang membuat keputusan yang sememangnya mengejutkan ramai.

Perjalanannya sebagai cef di restoran mewah terpaksa dihentikan demi menjaga keperluan keluarganya.

Menurutnya, keputusan untuk meninggalkan kerjaya yang dibina sejak usia remaja bukan sesuatu yang mudah bagi Jin Fang.

Walaupun ditawarkan kenaikan gaji, Jin Fang tetap mengikut kata hati untuk menguruskan neneknya di rumah.

"Saya bekerja 12 hingga 14 jam hampir setiap hari.

"Walaupun hari cuti, saya terlalu penat untuk melakukan sebarang aktiviti kecuali tidur.

"Tetapi, saya pergi dengan rasa bangga dan damai.

"Kadang-kadang, berundur bukan tentang berputus asa, tetapi memberi ruang untuk sesuatu yang lain berkembang," katanya.

Jin Fang kini menguruskan kafe sambil menjaga neneknya (kiri) yang menghidap demensia. — Agensi

Lebih menguatkan keputusannya apabila neneknya berusia 85 tahun yang sudah membesarkannya disahkan menghidap demensia sejak akhir 2024.

Dengan kedua-dua ibu bapanya bekerja sepenuh masa serta abangnya yang sudah berkahwin dan menetap jauh, Jin Fang tidak mahu neneknya ditinggalkan bersendirian di rumah bersama pembantu mereka.

"Sukar untuk lihat nenek saya beransur-ansur kehilangan dirinya.

"Walaupun ia satu cabaran, saya tetap ingat pada keluarga.

"Ada kalanya nenek tak pasti di mana dia berada atau apa yang berlaku.

"Tetapi, apabila saya masuk ke dalam bilik, wajahnya bersinar dan itu cara untuk lihat nenek yang saya kenali," jelasnya.

Kecil tapi penuh jiwa

Jin Fang akhirnya memilih untuk menjual kopi dan teh hijau Jepun (matcha) sepenuhnya dari rumah.

Kafe dengan konsep minimalis di tengah ruang tamu rumah. — Agensi

Hanya papan tanda ringkas di pintu pagar, bingkai, kabinet disusun di tepi dinding jingga diolah menjadi kaunter kecil untuk mengambil pesanan pelanggan.

Kafe mininya juga dilengkapi dengan mesin kopi espresso Itali berharga RM9,897 (S$3,000) dan peralatan barista lainnya.

"Saya tak datang dari latar belakang barista (pembancuh kopi).

"Saya mula dari kosong dan sebab itu saya namakan kafe ni The Noob Coffee," katanya.

Namun, dengan kemahirannya dalam bidang kulinari, setiap minuman disediakan dengan cita rasa yang halus dan seimbang.

Antara minuman yang ditawarkan adalah Iced Pandan Latte, Iced Matcha Latte, Iced Strawberry x Yogurt Matcha dan Earl Grey Matcha.

Harga dikenakan pula bermula serendah RM19 (S$6) sesuai dengan kualiti bahan premium yang digunakan dalam setiap cawan kopi.

Pelanggan juga diberi pilihan untuk menambah penambahan menu seperti pisang karamel bakar atau buih susu madu buatan sendiri dengan harga RM3 (S$1).

Antara jenis kopi yang ditawarkan oleh Jin Fang. — Agensi

Tidak seperti kebanyakan kafe rumah yang hanya menawarkan perkhidmatan pandu lalu, The Noob Coffee turut membenarkan pelanggan masuk ke dalam dan duduk santai di ruang makan yang memuatkan sehingga 10 orang.

Katanya, servis itu sengaja diberikan bagi memberi hiburan kepada neneknya yang sedang melawan demensia.

"Saya harap interaksi kecil dengan pelanggan boleh bantu nenek kekal aktif.

"Kadang-kadang, nenek juga membantu mencuci daun pandan atau menampal pelekat.

"Walaupun ingatannya semakin lemah, nenek masih kenal dengan saya," ujarnya.

Dengan pelaburan awal sekitar RM23,000 (S$7,000), Jin Fang kini tidak mengambil sebarang untung dan hanya fokus pada bajet serta pelaburan semula untuk jangka panjang.

"Saya tidak rancang untuk kembali ke kulinari mewah.

"Tetapi, kalau ada rezeki, saya ingin buka kafe sebenar satu hari nanti," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram