Sampai pinjam kawan nak beli mesin kopi, jenama Kapal Api rupanya empayar keluarga pendatang China di seberang


  • Bisnes
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Soedomo Mergonoto kini dikenali sebagai salah seorang pengusaha kopi yang paling berjaya di Indonesia. — IDN Times

 

 

KOPI Kapal Api, pastinya jenama yang bukan lagi asing terutama bagi peminat kafein.

Pernah menggegarkan pasaran di Malaysia suatu ketika dahulu, kopi Kapal Api ternyata merupakan produk buatan Indonesia.

Di sebalik aroma kopi yang memikat dan rasa penuh nostalgia, tersembunyi kisah kejayaan sebuah keluarga membina empayar perniagaan itu.

BACA LAGI: Utamakan pegangan agama, bekas pekerja logistik nekad berhenti kerja tawar servis cuci rumah di Lembah Klang

BACA LAGI: Suami poligami, isteri bijak pasang peguam rancang strategi kewangan, jual aset bersama

Jenama kopi Kapal Api yang dikenali di seluruh pelusuk dunia. — Facebook

Kopi Kapal Api juga menjadi produk kopi kisar pilihan rakyat tempatan dan antarabangsa.

Dari sayur ke kopi

Kopi yang mula diasaskan oleh tiga beradik, Go Soe Loet, Go Bi Tjong dan Go Soe Bin itu juga menembusi pasaran tempatan sejak 1972.

Tiga beradik tersebut juga merupakan pendatang dari China yang berhijrah ke Indonesia sekitar 1920-an.

Seperti kebanyakan pendatang China pada ketika itu, Soe Loet mula berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan dengan menjual sayur-sayuran di kawasan kejiranan untuk menampung keperluan hariannya.

Beliau bagaimanapun menukar fikiran dan mula menghasilkan serbuk kopi campuran sendiri dan dijual ke seluruh dunia pada 1927.

Go Soe Loet pengasas pertama kopi Kapal Api. — Facebook

Perniagaan itu dinamakan Hap Ho Tjan dalam bahasa Hokkien yang bermaksud Kapal Api.

Nama tersebut juga merujuk kepada pelanggannya yang kebanyakannya pelayar dan petugas kapal di Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya, Indonesia.

Dari memanggang sehingga mengisar, segala proses menghasilkan serbuk kopi dilakukan secara manual oleh Soe Loe.

Empayar Kapal Api

Mewarisi semangat Soe Leot, anak lelakinya, Soedomo Mergonoto kini menjadi penyambung legasi perniagaan kopinya.

Potensi Soedomo jelas dapat dilihat apabila aktif membantu menjual kopi bapanya sejak remaja dengan hanya menunggang basikal di sekitar pelabuhan.

Soedomo bagaimanapun tidak terikat pada kopi semata-mata, beliau juga pernah bekerja di bengkel tayar terpakai.

Titik perubahan besar berlaku pada 1979 apabila Soedomo menubuhkan syarikat pemanggang kopi, PT Santos Jaya Abadi yang secara rasmi memodenkan perniagaan keluarganya.

Mesin kopi yang digunakan pada awal perniagaan keluarga Go. — IDN Times

Meskipun pernah berdepan pelbagai halangan dan penolakan ketika cuba membeli mesin kopi dari Jerman, beliau tetap tidak berputus asa.

"Pada masa itu, mesin kopi buatan Jerman sangat mahal, berkali ganda lebih mahal daripada yang sedia ada di Indonesia.

"Saya terpaksa meminjam daripada rakan-rakan sampai saya ada cukup wang untuk mengimport mesin kopi dari Jerman.

"Lima tahun kemudian, Kapal Api menjadi peneraju pasaran di Indonesia," katanya.

Soedomo kemudiannya mengambil langkah berani apabila memutuskan untuk mengiklankan jenama Kapal Api di kaca televisyen pada awal 1980-an.

Keputusan itu ternyata menjadi batu loncatan yang melonjakkan populariti Kapal Api.

Jenamanya mula dikenali sehingga Pulau Jawa dan berkembang ke pasaran eksport pada 1985 seperti Hong Kong, Arab Saudi dan Taiwan.

Iklan kopi Kapal Api di kaca televisyen Malaysia sekitar 2007. — YouTube

Tidak sekadar menjual produk, Soedomo juga berjaya membina reputasi dan kepercayaan terhadap kualiti kopi Indonesia.

Dengan pencapaian yang memuaskan, beliau meneruskan langkah ke hadapan dengan menubuhkan beberapa kilang berteknologi moden bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran di seluruh Indonesia.

Sehingga kini, Soedomo Mergonoto dikenali sebagai salah seorang pengusaha kopi yang paling berjaya di Indonesia.

Meskipun tiada rekod rasmi tentang jumlah hasil keuntungannya sepanjang menjalankan perniagaan, rata-ratanya percaya bahawa nilai hartanya mencecah 12 angka.

Bukan itu sahaja, Soedomo bijak mengatur langkah membentuk payung perniagaan bernama Kapal Api Global, yang menyelia beberapa anak syarikat dalam sektor makanan, minuman, pengedaran dan penanaman kopi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram