
PEREKA fesyen muda, Akmal Hakim Ajirul kembali mewarnai pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 dengan koleksi terbaharunya bertemakan self-love.
Bertajuk From Me to You, koleksinya menampilkan 12 busana yang menggabungkan sentuhan siluet berani, alunan lembut dan penceritaan penuh emosi.
Katanya, koleksi itu turut menjadi 'surat cinta' Akmal kepada seluruh pencinta gaya dan fesyen.
Pereka berusia 30 tahun itu berkata, pelbagai jenis fabrik dengan berat berbeza digunakan untuk busananya.
"Saya gabungkan fabrik jenis sifon, kulit dan bulu tiruan daripada ringan sehingga yang berat.
"Fabrik-fabrik ini dimanipulasi menggunakan potongan laser untuk menghasilkan efek dan diinspirasikan daripada bunga dandelion, potongan laser akrilik berbentuk hati sebagai perincian hiasan bagi melambangkan self-love.
"Berkarya dalam fesyen buat saya gembira dan koleksi inilah yang mengekspresikannya," katanya.
Tidak hanya fokus pada rekaan untuk acara istimewa atau persembahan pentas, jejaka berasal dari Sandakan, Sabah itu turut mengetengahkan busana lebih kasual.
Antaranya adalah kemeja chiffon bersaiz besar sebagai layering dan gaun kemeja putih chiffon diolah menjadi jubah demi mencapai pasaran lebih luas.
Graduan Ijazah Rekaan Fesyen Fakulti Seni dan Reka Bentuk di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu pada masa sama tidak menafikan bahawa berdepan dengan cabaran terbesar dalam menyeimbangkan kreativiti dan daya tarikan komersial.
"Saya mahu setiap busana kelihatan seperti karya seni tetapi pada masa sama boleh dipakai dan dipasarkan.
"Kekangan masa serta tuntutan teknikal dalam manipulasi fabrik terutamanya potongan laser memerlukan ketelitian dan kesabaran.
"Mengendalikan pelbagai fabrik dengan berat berbeza juga memerlukan perhatian agar setiap busana bergerak dan terletak seperti apa yang saya bayangkan," jelasnya.
Ditanya pula tentang keberaniannya untuk berada di pentas KLFW kali ini, Akmal berkata, pengalamannya dan penglibatannya sejak 2020 membuatkannya dirinya lebih bersedia.
"Saya dah sertai KLFW sejak 2020 bermula dari segmen kecil seperti Fashion Forward Batik, Design to Sustain dan juga bekerja di bawah pereka Rizman Ruzaini.
"Kerja kolaborasi saya bersama Ruzzgahara merupakan antara pencapaian penting lain.
"Jadi, apabila diberi peluang untuk membina identiti dan jenama sendiri, saya tidak teragak-agak kerana saya sudah bersedia memberikan 100 peratus komitmen saya," katanya.
Selain bakat dan usaha, sokongan yang diberikan oleh keluarga turut menjadikan sumber kekuatan buat Akmal untuk terus meneroka dunia fesyen.
Anak ketiga daripada empat beradik itu menambah, mendengar pujian terhadap bakatnya cukup membantu Akmal meningkatkan keyakinan diri ketika berada di tahap terendah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram