
RAMAI wanita terutamanya ibu menyusu, kerap mengalami keletihan fizikal dan emosi apabila bayi kerap 'mengempeng; atau melekap pada payudara hampir sepanjang malam.
Dalam sesetengah kes, bayi 'mengempeng' bukan kerana lapar tetapi sebagai salah satu cara menenangkan diri sebelum tidur.
Namun, situasi itu bukan sahaja menjejaskan kualiti tidur ibu, malah secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikal dalam jangka masa panjang.
Seiring perkembangan dunia semasa, kaedah sleep training kini semakin dipraktikkan meluas oleh golongan ibu menyusu terutamanya yang berdepan dengan isu berbangkit.
Apa itu sleep training
Sleep training merujuk kepada kaedah mengajar bayi untuk tidur sendiri tanpa perlu didodoi, diayun atau 'mengempeng' berterusan.
Kaedah tersebut bertujuan membantu bayi membina tabiat tidur yang sihat dan lena tanpa kebergantungan berlebihan kepada si ibu.
Menurut Pakar Tangisan dan Tidur Bayi, Uswatun Hasanah Mohd Habib menjelaskan bahawa cara tersebut berupaya membantu ibu untuk mendapatkan rehat mencukupi selain juga memberikan keselesaan lebih pada si kecil.
Akui ia merupakan situasi lazim dihadapi ibu menyusu, walau bagaimanapun keadaan itu boleh diselesaikan dengan cara sleep training.
Uswatun Hasanah berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang tangisan dan tidur bayi.
"Memang ibu menyusu tak terlepas daripada isu bayi mengempeng, saya sendiri pun pernah berdepan situasi macam itu tapi sleep training ni boleh kurangkan dakapan anak dengan dada ibu masa tidur.
"Bukan sahaja masalah mengempeng, malah jenis anak yang suka dodoi, buai 24 jam pun boleh diselesaikan dengan kaedah ini walaupun setiap bayi ada masalah berbeza-beza, semuanya boleh diatasi dengan kaedah sama.
"Sleep training ni saya boleh kata ada dua cara, satu cara kita biarkan tidur walaupun menangis, keduanya lebih lembut sikit bila kita akan datang dan tepuk bayi bila dia mula menangis, kedua-duanya perlukan latihan dan dibiasakan baru boleh menjadi," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Majoriti.
Kaedah sleep training popular
Terdapat beberapa teknik sleep training yang boleh dipilih mengikut keselesaan ibu bapa dan karakter bayi:
Ferber Method (Controlled Crying) – Bayi dibiarkan menangis dalam tempoh singkat yang semakin bertambah sebelum ditenangkan oleh ibu bapa.
Chair Method – Ibu bapa duduk di sebelah katil bayi dan perlahan-lahan menjauhkan diri sehari demi sehari.
No Tears Method – Kaedah lembut tanpa tangisan dengan rutin tidur yang konsisten dan sokongan emosional.
Pick Up, Put Down – Bayi diangkat apabila menangis dan diletakkan semula apabila tenang, berulang kali sehingga mereka tidur sendiri.
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata tersebut turut menitikberatkan kesihatan tubuh badan ibu dari segi fizikal dan emosi.
Tidak menafikan bahawa segelintir masyarakat terutamanya golongan terdahulu agak skeptikal terhadap kaedah tidur anak cara moden itu, Uswatun tegas menekankan ia bergantung kepada kemahuan individu.
"Memang ada orang kata sleep training ni untuk ibu pemalas, semua nak mudah tapi anda kena ingat yang menjaga bayi siang malam adalah anda sendiri, bukannya orang lain.
"Ini bukan trend zaman sekarang cumanya ia baru diluaskan ke Malaysia walaupun sebenarnya negara Barat dah lama praktikkan kaedah ni.
"Kesihatan dan tubuh badan ibu lebih penting dalam hal ini, jadi kalau ada kaedah yang bersesuaian kenapa tidak cuba? Ia berkesan cuma kena cekal dan buat sampai jadi," tambahnya.
Sekadar info, Uswatun memulakan perjalanan dalam bidang ini selepas melalui sendiri pengalaman mencabar sebagai ibu muda yang tidak memahami mengapa bayinya kerap menangis dan sukar tidur.
Kekangan maklumat yang betul dan kurang sokongan profesional ketika itu mencetuskan semangatnya untuk mendalami dunia emosi bayi secara saintifik dan sistematik.
Berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang berkenaan, graduan pengajian kimia industri dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor itu juga sering diundang dalam seminar, forum, serta program ceramah bagi berkongsi panduan dan ilmu keibubapaan moden yang berasaskan kajian sains perkembangan kanak-kanak.
Menekankan bahawa tangisan dan tidur bayi bukan sekadar ilmu keibubapaan, malah ia adalah asas kepada pembentukan emosi sihat dan kestabilan mental anak-anak untuk jangka masa panjang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram