'Tiada istilah pasar malam', Zaihani puji prestasi KLFW 2025, OOTD tetamu penghargaan untuk tuan rumah


  • Gaya
  • Ahad, 10 Ogos 2025

Zaihani (gambar kecil) menegaskan bahawa pentas peragaan KLFW 2025 berhak diraikan oleh semua tetamu.

ACARA Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025 yang berlangsung sejak Isnin lalu dilihat mendapat sambutan hangat dan mencuri perhatian ramai.

Namun, di sebalik kemeriahan itu, terselit pula kontroversi yang menjadi perbualan di media sosial.

Ia berlaku apabila segelintir undangan barisan hadapan dikecam kerana menghasilkan kandungan media sosial yang disifatkan sebagai 'kosong' dan tidak mencerminkan nilai sebenar acara fesyen berprestij tersebut.

BACA LAGI: 'Ini KLFW, bukan pasar malam', warga maya kritik segelintir individu duduk barisan hadapan sekadar konten 'OOTD'

BACA LAGI: Anak Fazura pun kena tempias, kata-kata negatif pada si kecil, trauma bawa hingga dewasa, elak penderaan verbal

Kemeriahan KLFW 2025 yang berlangsung sejak Isnin lalu dan tamat pada Ahad. — KLFW

Para tetamu yang hadir turut dikatakan tidak memberikan reaksi dan komen berpotensi buat pereka di KLFW, malah hanya sibuk untuk bergambar untuk Outfit Of The Day (OOTD).

Mengulas lanjut, pengkritik fesyen terkemuka, Zaihani Mohd Zain tampil menjelaskan tentang pandangan sesetengah individu terhadap perkara berkenaan. 

Zaihani menegaskan bahawa setiap busana yang diperagakan oleh kesemua pereka berhak dinilai oleh tetamu.

"Semua kritikan yang diberi oleh barisan hadapan tidak kira apa jua sekali pun kita tak boleh menghentikannya.

"Manusia memang semula jadi akan beri komen, tetapi atas diri kita sendiri ikhlas atau tidak," katanya ketika ditemui di KLFW 2025 pada Khamis lalu. 

Tambahnya lagi, semua tetamu tidak dihalang untuk meragakan busana yang dikenakan.

Zaihani berkata, segala kandungan media sosial itu turut menunjukkan penghargaan buat pereka termasuk pihak penganjur.

"Lebih baik 'overdress' daripada 'underdress'. Sekurang-kurangnya ia menunjukkan usaha kita kepada tuan rumah," katanya.

Zaihani pada masa sama menepis istilah 'pasar malam' yang dilemparkan oleh sesetengah individu.

Baginya, perspektif sedemikian tidak seharusnya wujud kerana pentas peragaan dianjurkan untuk dinilai.

"Dahulu KLFW pernah tampilkan fesyen jalanan atau dan sekarang dah menjadi sebahagian daripada arus perdana.

"Jadi, saya rasa tidak wajar nak labelkan ia sebagai pasar malam. Kalau faham asal-usul dan konsep rekaan, tanggapan itu tak akan muncul," ucapnya.

Melihat prestasi KLFW kali ini, beliau sempat memuji kesunggahan para pereka fesyen terutama sejak hari pertama ia dilancarkan.

"Saya rasa vibe tahun ini sangat bagus. Hari pertama pun dah suka, ia permulaan yang bagus.

"Walaupun bukan semua rekaan menepati cita rasa semua orang, usaha mereka untuk hasilkan koleksi busana wajar dihargai," tambahnya.

Sementara itu, KLFW 2025 yang berlangsung selama tujuh hari sejak Isnin lalu menampilkan lebih 50 jenama dan pereka fesyen tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram