
HARI ulang tahun merupakan detik bermakna buat setiap insan khususnya golongan kanak-kanak yang pastinya ternanti-nantikan sambutan istimewa saban tahun.
Lazimnya, persiapan rapi akan dilakukan ibu bapa dengan kelengkapan barangan seperti belon, kek dan hiasan kartun kegemaran anak antara yang menjadi kewajipan pada momen bermakna itu.
Namun, lain pula kisahnya bagi pasangan suami isteri ini yang memilih untuk bersederhana pada sambutan ulang tahun ketiga anak lelakinya dikenali sebagai Mateen.
Berkongsi rezeki bersama orang ramai, mereka memberikan ais krim Malaysia secara percuma sempena ulang tahun anaknya dan setiap pemberian perlu hadir dengan ucapan 'Selamat hari jadi Mateen'.
Katanya, tindakan itu bertujuan bagi mendidik anaknya bahawa kebahagiaan tidak memerlukan barangan mahal dan sambutan yang mewah.
"This year kita buat istimewa sikit, kongsi dengan semua orang little gift, to teach you that happiness tak perlu barang mahal, tak perlu sambutan besar-besaran.
"Cukup berkongsi dengan penuh rasa ikhlas, terima kasih kepda semua yang sudi menerima hadiah kecil dari kami serta memberi ucapan buat anak kami," ujarnya di TikTok pada Rabu.
Lebih menarik, pemberian tersebut tidak hanya menjadi rebutan kanak-kanak, malah golongan dewasa juga tidak terkecuali mendapatkan manisan kegemaran rakyat Malaysia itu.
Tindakan pasangan itu dipuji ramai yang tersentuh dengan pendekatan mereka kerana bukan sahaja mengamalkan sikap bersederhana, malah turut mengajar anak untuk sentiasa bersyukur sejak peringkat awal.
Dalam masa sama turut membuktikan bahawa nilai kebahagiaan bukan terletak pada jumlah wang yang dibelanjakan, tetapi pada keikhlasan hati ketika memberi.
Tindakan pasangan tersebut wajar dijadikan inspirasi ibu bapa lain untuk menyemai nilai kasih sayang, kesederhanaan dan saling berkongsi dalam mendidik anak-anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram