
SINDROM flat head atau dalam bahasa saintifiknya, plagiocephaly antara kondisi yang sering dialami oleh bayi.
Keadaan itu juga berlaku apabila belakang kepala bayi kelihatan leper atau rata disebabkan tengkoraknya yang masih lembut.
Bayi juga menghabiskan sebahagian besar waktu tidurnya dengan cara terlentang.
BACA LAGI: Ibu wajar ajar anak gadis catit tarikh haid, guna aplikasi mudah pantau jika PMS
BACA LAGI: Suami poligami, isteri bijak pasang peguam rancang strategi kewangan, jual aset bersama
Topi keledar khas yang direka untuk bayi.
Bukan itu sahaja, duduk terlalu lama di rocking chair atau tempat duduk bayi di dalam kereta baby car seat turut boleh mengakibatkan kepala bayi menjadi leper.
Mengalami situasi sama, seorang ibu berkongsi pengalaman dan perjalanan mengembalikan bentuk kepala bayinya dengan bantuan cranial helmet atau topi keledar kranial.
Menurut perkongsian di akaun Thread @_nunatt, anaknya mula dikesan mengalami perubahan bentuk kepala tidak simetri pada usia dua bulan.
"Masa ini dah nampak rata dan senget, doktor sarah guna teknik tummy time, urut kepala sewaktu dan selepas mandi, tetapi masih tak jalan.
"Waktu dia bayi aku tak banyak ambil gambar sebab sedih dan rasa gagal jadi seorang mak sebab tak dapat betulkan bentuk kepala dia yang asal.
"Sampai umur dia lapan bulan, aku cuba cari rawatan untuk flat head dan nampak ramai orang Barat guna cranial helmet," tulisnya.
Katanya, rawatan tersebut masih belum banyak dilakukan di Malaysia, rata-ratanya di luar negara dan harganya juga boleh mencecah belasan ribu.
Topi keledar itu direka untuk memberikan tekanan lembut pada kepala bayi dan mampu mengembalikan bentuk asal kepala secara perlahan.
Ia juga boleh digunakan untuk bayi yang kerap tidur dalam satu posisi untuk tempoh lama kerana dilengkapi dengan kusyen lembut untuk mengelakkan kepala merata atau merata.
Bagaimanapun, adalah penting untuk para ibu bapa mengetahui bahawa topi keledar itu hanya berkesan jika dipakai sebelum bayi berumur 12 bulan iaitu sebelum semua struktur tengkorak menjadi kuat.
Pemakaian dalam tempoh masa panjang dapat membantu mengembalikan bentuk kepala bayi.
Topi keledar terapeutik itu tidak akan membantu membetulkan bentuk tengkorak selepas perkembangan otak bayi selesai.
"Kayl (anak) dah umur setahun lapan bulan baru aku jumpa satu syarikat yang tawarkan rawatan ini di Pulau Pinang.
"Tetapi, demi anak aku tetap teruskan dan tak sangka harganya lebih murah sekitar RM3500 untuk satu topi keledar termasuk imbasan 3D dan ditambah dengan konsultasi sebanyak RM150.
"Nak buat helmet ini bukan sehari dua. Kita kena datang periksa dahulu, kemudian buat imbasan 3D dan perlu diukur.
"Nak siapkannya ambil masa dua hingga tiga minggu," katanya sambil menambah bahawa syarikat tersebut juga mempunyai cawangan di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Kongsinya lagi, pemakaian topi keledar tersebut dimulakan dengan tempoh percubaan iaitu sebulan.
Anaknya perlu memakainya selama tiga jam sehari pada minggu pertama.
"Pagi sejam, tengah hari sejam dan petang atau malam sebelum tidur sejam.
"Minggu kedua pula enam jam. Pagi dua jam, tengah hari dua jam dan petang atau malam dua jam.
"Alhamdulillah dalam masa seminggu ukuran kepala nampak perubahan.
"Selepas itu, Kayl dah mula perlu pakai 23 jam sehari, minimum 20 jam termasuk waktu tidur untuk nampak kesannya," tulisnya.
Tambahnya, pemakaian topi keledar itu masih perlu diteruskan sehingga mendapat saranan pakar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram