[VIDEO] Siang kerja kantin, malam niaga burger, ibu gigih sara 5 anak belajar tinggi


  • Bonda
  • Sabtu, 02 Ogos 2025

Seorang ibu tunggal gigih berniaga demi menyara keperluan dan pelajaran lima anaknya.

DALAM dunia yang semakin mencabar, kasih sayang dan pengorbanan seorang insan bergelar ibu kekal menjadi nadi utama kepada sesebuah keluarga.

Ujian lebih berat apabila individu itu berstatus ibu tunggal yang ironinya memerlukan sumber rezeki dan pendapatan kukuh demi kelangsungan hidup anak-anak.

Menggambarkan situasi tersebut, kisah seorang ibu tunggal yang cekal berniaga burger di sekitar Ipoh, Perak tular di laman sosial baru-baru ini.

BACA LAGI: 'Dia orang pertama cium tangan aku', pelawak popular kongsi pengalaman bertumbuk dengan pelajar ketika jadi guru

BACA LAGI: Raja Permaisuri Agong lancar blog 'Lessons from Life', wadah perkongsian pendapat buat rakyat jelata

Menjalankan perniagaan secara separuh masa pada waktu petang hingga ke awal pagi, wanita dikenali sebagai Khadijah itu difahamkan turut bekerja di kantin sekolah setiap pagi.

Katanya, segala penat lelah bekerja bertujuan hanya untuk menyara keperluan dan pelajaran anaknya yang kini sedang menuntut pengajian di universiti.

 

 

"Pagi kerja kantin sekolah, petang niaga burger, kerja keras sebab anak-anak, semua lima orang belajar universiti

"Anak pertama belajar di UTM Skudai, kedua di UKM bangi, ketiga buat TVET dekat Lumut dan dua lagi masih bersekolah.

"Suami yang pertama meninggal dunia dah, yang kedua pula hilang dari radar, mungkin ada masalah kan," katanya.

Paling mencuri perhatian, wajah individu dipercayai berusia lingkungan 40-an itu tidak pernah lekang daripada senyuman dan tawa walaupun diuji dugaan getir.

Malah, ibu kepada lima cahaya mata itu hanya berehat dan cuti sekali dalam seminggu apabila gerainya ditutup pada setiap Selasa.

Sentiasa mengutamakan pendidikan anak-anak, setiap kejayaan ditempa di peringkat tinggi mahupun sekolah dianggap sebagai balasan dan hadiah terbesar buatnya walaupun terpaksa memerah kudrat sendirian demi sesuap nasi.

Kisahnya hangat diperkatakan warga maya dan tidak kurang juga yang mendoakan agar wanita tersbeut dikurniakan kebahagiaan dan dimurahkan rezeki selalu.

Walaupun bersederhana dalam kehidupan, ia harus dijadikan iktibar dan teladan buat masyarakat untuk sentiasa menghargai jasa serta pengorbanan seorang ibu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram