Jodoh awan biru, perkenalan di kerusi 24A, 24B akhirnya bersatu atas pelamin


  • Cinta
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Perkenalan spontan di dalam pesawat kadangkala membawa kepada kisah cinta yang tidak disangka. — Gambar hiasan/Freepik AI

SIAPA sangka, jodoh boleh hadir ketika sedang duduk di kabin pesawat, melihat pemandangan awan dan langit biru luas terbentang.

Bunyi macam drama romantik di Netflix, tapi situasi ini benar-benar berlaku.

Menurut satu kajian oleh HSBC United Kingdom pada 2018, satu daripada 50 penumpang kapal terbang bertemu cinta  ketika berada di atas awan.

BACA LAGI: Gaya seni bina klasik tepi pantai, apa itu rumah Shingle?

BACA LAGI: Keluar dari kepompong B40, ini rahsia kejayaan lepas lalui hidup susah

Kajian itu bukan sekadar sembang kosong kerana ia melibatkan 5,000 pelancong dari 141 negara, yang berkongsi pelbagai pengalaman semasa penerbangan.

Hasilnya memang mengejutkan kerana lebih daripada satu pertiga responden memberitahu bahawa mereka sering melancong seorang diri.

Perkara itu secara tidak langsung membuka pintu kepada peluang sosial yang lebih besar termasuk bercinta!

Dari small talk ke hati

Dalam ruang sempit kabin pesawat, interaksi kecil seperti berkongsi makanan ringan, menolong ambil bagasi di ruang atas atau berbual tentang destinasi percutian masing-masing boleh menjadi permulaan kepada sesuatu lebih bermakna.

Ada mulanya cuma berbual kerana bosan, namun akhirnya bertukar nombor telefon dan bertukar janji temu setibanya di destinasi mendarat.

Faktor 'terperangkap' di dalam ruang tertutup selama beberapa jam juga memainkan peranan.

Ketika itu, orang lebih cenderung untuk membuka diri, berbual dengan orang asing atau sekurang-kurangnya bersikap lebih mesra daripada biasa.

Dalam suasana yang santai dan jauh dari rutin harian, peluang untuk wujudnya connection itu lebih tinggi.

Romantis atau kebetulan?

Walaupun tak semua penerbangan akan berakhir dengan cerita cinta, kajian itu menunjukkan bahawa suasana penerbangan terutamanya jarak jauh boleh mencipta peluang hubungan yang unik.

Malah ada pasangan yang mengaku perkenalan mereka bermula dari kerusi 24A dan 24B dan akhirnya berakhir di atas pelamin.

Satu lagi faktor yang menyumbang? Teknologi, kerana ramai menggunakan WiFi dalam pesawat untuk mula berbual melalui aplikasi seperti WhatsApp atau media sosial, sebelum memulakan perbualan secara berdepan.

Kadangkala, "eh, saya rasa saya nampak awak duduk di depan tadi" sudah cukup untuk mencetuskan percikan pertama.

Bukan sekadar pengangkutan

Daripada kajian itu, jelas bahawa pesawat bukan lagi sekadar tempat untuk kita bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Ia juga menjadi ruang sosial yang tidak disangka-sangka.

Mungkin sebab itu, ramai yang suka duduk di tepi lorong bukan sahaja mudah ke tandas, tapi juga lebih senang untuk berkenalan.

Jadi kalau anda melancong solo, mungkin sudah tiba masanya untuk tutup fon kepala sekejap dan senyum pada penumpang di sebelah.

Mana tahu, cinta sejati anda sedang duduk hanya beberapa inci dari tempat duduk anda sekarang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram