
MINUM jus bit setiap hari mungkin bukan pilihan utama bagi ramai orang, tetapi kajian terbaharu mendapati amalan itu boleh membawa manfaat besar.
Khususnya kepada golongan warga emas yang mengalami tekanan darah tinggi.
Pakar dari University of Exeter, United Kingdom mendedahkan bahawa jus bit yang kaya dengan nitrat semula jadi, bukan sahaja membantu menurunkan tekanan darah, malah turut mengubah komposisi bakteria dalam mulut ke arah yang lebih sihat.
BACA LAGI: Guna teknologi bantu perkembangan kanak-kanak, TOY8 ubah lanskap pendidikan awal
BACA LAGI: Pengalaman ubah suai rumah baharu, warganet kongsi 7 renovasi dianggap paling membazir
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Free Radical Biology and Medicine itu melibatkan 75 peserta terdiri daripada golongan dewasa muda bawah 30 tahun dan warga emas berusia 60 hingga 70-an.
Mereka diberikan jus bit setiap hari selama dua minggu.
Hasilnya, tekanan darah warga emas menunjukkan penurunan ketara selepas tempoh pengambilan tersebut.
Ini kerana nitrat dalam jus bit bertindak balas dalam tubuh dan ditukar menjadi nitric oxide, sebatian yang membantu meluaskan salur darah dan melancarkan aliran darah.
Kajian turut menunjukkan perubahan ketara pada mikrobiom mulut iaitu kumpulan bakteria yang hidup dalam rongga mulut.
Selepas minum jus bit, warga emas mengalami penurunan bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan dan peningkatan bakteria baik yang menyokong kesihatan.
Menurut Profesor Andy Jones, makanan tinggi nitrat mampu mengubah mikrobiom oral dalam cara yang boleh mengurangkan keradangan dan menyumbang kepada tekanan darah lebih sihat.
"Kajian ini membuka jalan kepada penyelidikan lebih besar melibatkan gaya hidup dan perbezaan jantina dalam tindak balas terhadap suplemen nitrat," katanya.
Tambah seorang lagi penyelidik, Profesor Anni Vanhatalo, warga emas menghasilkan lebih sedikit nitric oxide secara semula jadi apabila usia meningkat, sekali gus meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dan komplikasi jantung.
"Galakan untuk mengambil lebih banyak sayur tinggi nitrat boleh beri kesan kesihatan yang besar dalam jangka panjang," katanya.
Jika tidak menggemari jus bit, alternatif lain turut kaya dengan nitrat termasuk bayam, saderi, roket (arugula), adas dan kale.
Semua itu mudah didapati dan boleh dimasukkan dalam hidangan harian.
Kajian itu dibiayai oleh Biotechnology and Biological Sciences Research Council (BBSRC) melalui geran kerjasama industri dan diketuai oleh sekumpulan penyelidik yang mahu memahami kaitan antara pemakanan, bakteria mulut dan kesihatan vaskular.
Menurut Dr Lee Beniston dari BBSRC: "Ini adalah contoh bagaimana biosains moden membantu kita memahami hubungan kompleks antara diet dan penuaan sihat."
Hasil kajian itu bukan sahaja membuka mata tentang potensi makanan harian dalam penjagaan kesihatan, malah memberi harapan baharu dalam pencegahan penyakit berkaitan usia hanya dengan mengubah sedikit tabiat pemakanan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram