Dari Hangzhou ke PJ, cerita di sebalik reka hias konseptual Single Dose Coffee


  • Hias
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Tyler (tengah) sedang meluangkan masa bersama rakan-rakan di ruang kafe Single Dose Coffee yang tenang dan selesa.

DI celah-celah hiruk-pikuk Petaling Jaya, tersorok sebuah kafe yang menjanjikan pengalaman kopi yang bukan sekadar sedap, tapi juga menyenangkan.

Itulah Single Dose Coffee, sebuah ruang yang lahir daripada inspirasi luar negara, tetapi dibina dengan kepekaan tempatan dan sentuhan peribadi.

Majoriti berpeluang bertemu pengasas Single Dose Coffee, Tyler Wong Khai Zheng, 26 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kafe miliknya itu.

BACA LAGI: Bantu turun tekanan darah dalam masa singkat, kajian dedah rahsia jus bit

BACA LAGI: Pinggan mangkuk cacat jadi trend, bangkitkan suasana mesra, santai di meja makan

Inspirasi Single Dose bermula dari Hangzhou.

"Inspirasi Single Dose bermula dari Hangzhou, China. Kami ke sana untuk satu acara kopi dan sempat singgah di sebuah kedai kopi milik rakan di sana. Suasananya hangat dan mesra. Disebabkan itu kami mahu bawa pengalaman itu pulang ke Malaysia."

Konsep, kafe seperti rumah, bukan sekadar tempat minum kopi

Single Dose Coffee bukan sekadar tempat minum kopi, ia adalah ruangan yang mana anda boleh merasakan seperti berada di rumah sendiri.

Reka bentuk terbuka, pemilihan kayu sebagai bahan dominan, serta susun atur yang menekankan keselesaan, semuanya hasil kerja tangan Tyler dan teman wanitanya sendiri.

Single Dose Coffee bukan sekadar tempat minum kopi.

"Kami buat rekaan sendiri, termasuk pintu dan perabot. Semuanya kami bangunkan dalam masa tiga bulan dengan kontraktor.

"Kami mahu suasana seperti tinggal di rumah, bukan tempat lepak biasa," kata Tyler kepada Majoriti dengan bangga.

Reka bentuk yang moden minimalis dipadankan dengan pencahayaan hangat dan perabot lembut.

Setiap perincian direka bukan hanya untuk sedap mata memandang, tetapi bagi mencipta suasana kerja, bersantai atau berbual yang selesa.

Ia sekali gus sesuai dan menepati cita rasa golongan muda dan pekerja kreatif di masa kini.

Reka bentuk yang moden minimalis dipadankan dengan pencahayaan hangat dan perabot lembut.

Kualiti kopi dan rasa 'Single Dose' penuh maksud

Nama Single Dose bukan sekadar gimik kerana ia merujuk kepada pendekatan mereka dalam menyajikan kopi secara rapi dan terkurasi.

Satu cawan, satu pengalaman yang mana pelanggan boleh memilih dari pelbagai jenis biji kopi dari seluruh dunia, yang bertukar setiap bulan dan mendapatkan penerangan penuh daripada barista yang terlatih.

"Kami bukan sekadar jual kopi, kami ajar pelanggan untuk faham kopi.

"Setiap bulan kami tukar pilihan biji kopi dan kami akan beri penerangan tentang nota rasa dan asal usulnya," ujar Tyler.

Single Dose juga menjadi pusat latihan barista, ia merupaka sesuatu bidang yang tak ramai tahu.

Tyler sendiri mempunyai latar belakang dalam pendidikan kopi dan pernah memenangi beberapa anugerah dalam bidang latihan barista.

Setiap perincian direka bukan hanya untuk sedap mata memandang, tetapi bagi mencipta suasana kerja, bersantai atau berbual yang selesa.

Ruang berubah ikut musim

Walaupun baru beroperasi lapan bulan, Single Dose sudah melalui fasa perubahan.

Ruang kerja mereka, misalnya, sudah mengalami rombakan selepas empat bulan pertama.

"Kami dapati ruang kerja agak sempit untuk pasukan bekerja dengan efisien. Jadi kami ubah semula layout untuk lebih mesra operasi," kongsi Tyler.

Bukan itu sahaja, Tyler dan pasukannya sentiasa menyesuaikan ruang kafe mengikut musim atau acara tidak kira tema Hari Raya, Krismas hingga acara countdown.

Ia memberi sebab untuk pelanggan kembali, bukan sekadar untuk kopi, tapi juga suasana baharu setiap kali.

Nama Single Dose bukan sekadar gimik kerana ia merujuk kepada pendekatan mereka dalam menyajikan kopi secara rapi.

Lokasi tersorok tapi berbaloi

Terletak di PJ Old Town, lokasi Single Dose ibarat permata tersembunyi.

Tapi itu bukan kelemahan, malah menjadi kekuatan kerana ia memberi suasana lebih tenang, jauh dari kesibukan pusat bandar.

"Ramai pelanggan kata mereka suka sebab rasa damai. Matahari petang di luar sangat cantik. Walaupun sedikit panas waktu tengah hari, suasana tetap nyaman."

Kini, walaupun belum bercadang untuk ubahsuai secara besar-besaran, Tyler terbuka untuk menambah elemen baharu seperti jenis pastri atau pencuci mulut demi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

Single Dose Coffee lebih dari sekadar minuman

Dalam dunia kafe yang semakin seragam dari segi estetik dan rasa, Single Dose tampil sebagai ruang yang jujur, ikhlas dan peribadi.

Ia bukan hanya tentang kopi yang sedap atau tempat yang cantik untuk bergambar, tetapi tentang pengalaman.

Seperti tentang rasa pulang ke rumah, bersama secawan kopi yang dibuat dengan penuh perhatian.

"Jika anda mahu rasa kafe yang boleh menenangkan fikiran, Single Dose Coffee di PJ Old Town adalah tempatnya," ujar Tyler menutup sesi temubual. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram