
BAGI orang ramai, peluang untuk berada hampir dengan kehidupan diraja hanya dapat dibayangkan melalui kaca televisyen atau helaian majalah.
Namun bagi Hetty Andik Perkasa, pengalaman itu menjadi nyata apabila beliau mendapat peluang eksklusif menginap di Assarraa, sebuah kompleks mewah terletak di dalam kawasan istana kerajaan Brunei Darussalam.
Kompleks Assarraa bukanlah kediaman biasa kerana ia merupakan salah satu hartanah eksklusif milik bangsawan yang berfungsi sebagai tempat kediaman dan lokasi acara tertutup berkepentingan tinggi.
BACA LAGI: Gaya seni bina klasik tepi pantai, apa itu rumah Shingle?
BACA LAGI: Keluar dari kepompong B40, ini rahsia kejayaan lepas lalui hidup susah
Terletak di dalam pekarangan istana, suasana di sekelilingnya cukup mempesona dengan kehijauan landskap yang terjaga rapi, disulami ketenangan dan aura keagungan sukar digambarkan dengan kata-kata.
Menurut perkongsian Hetty, setiap ruang di dalam kediaman itu memancarkan ciri-ciri kemewahan, namun kekal berakar pada identiti Brunei tersendiri.
Bilik beliau menginap bukan sahaja luas, malah dilengkapi dengan walk-in closet dan kamar mandi berkonsepkan Brunei yang menyerlahkan sentuhan mewah melalui penggunaan marmar dari lantai hingga ke siling.
Pengalaman itu bagai berada di hotel bertaraf lima bintang.
Apa membezakan Assarraa daripada kediaman mewah lain ialah perhatian terhadap perincian.
Barangan harian disusun kemas dalam almari khas termasuk ruang simpanan untuk barangan perhiasan harian, sesuatu yang jarang ditemui walaupun di rumah agam moden.
Segalanya tersedia, direka bukan sahaja untuk keselesaan tetapi juga menggambarkan budaya serta kesopanan gaya hidup bangsawan Brunei.
Ruang makan utama pula menampilkan meja panjang yang mampu memuatkan lebih 10 tetamu pada satu masa.
Ia sesuai untuk jamuan tertutup atau pertemuan eksklusif.
Atmosfera di ruang itu cukup intim namun tetap memancarkan kebesaran, mencerminkan keseimbangan antara pergaulan dan keanggunan tradisi istana.
Salah satu ciri yang paling memikat hati Hetty ialah balkoni peribadi yang terbuka kepada panorama hijau menenangkan.
Lebih istimewa, dari sinilah beliau dapat melihat secara langsung suasana dalam kawasan istana, satu pandangan yang sangat terhad dan hampir mustahil dinikmati oleh orang awam.
Pengalaman Hetty bukan sekadar menginap di sebuah rumah mewah, tetapi merasai sendiri kehidupan dalam dimensi budaya dan tradisi diraja Brunei.
Assarraa membuktikan bahawa kemewahan tidak semestinya berlandaskan pengaruh Barat semata-mata, tetapi boleh dizahirkan melalui seni bina, susun atur dan perincian yang mengangkat warisan tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram