
DILAHIRKAN di Tokyo, Shun Matsuzaka membesar dengan minat mendalam terhadap pembelajaran, namun keputusan akademiknya tidak mencerminkan semangat itu.
Segalanya berubah apabila dia disahkan menghidap disleksia pada usia 19 tahun ketika mengikuti tahun asas di sebuah universiti di United Kingdom.
Pengalaman itu bukan sahaja mengubah hidup Matsuzaka, malah mencetuskan iltizam untuk membantu kanak-kanak lain yang berdepan cabaran perkembangan seperti dirinya.
BACA LAGI: Sewa atau beli rumah? Panduan kewangan untuk pasangan muda
BACA LAGI: Anak muda penat dengan 'dating app', pilih cara berkenalan secara bersemuka
Shun Matsuzaka mengusahakan pendekatan permainan dan data yang membantu membangunkan potensi kanak-kanak.
Selepas berpindah ke Malaysia pada 2017, Matsuzaka bersama rakan kongsi, Masaki Ishibashi, menubuhkan TOY8 pada tahun berikutnya.
Pada 2020, mereka merancang untuk membuka taman permainan pintar berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) seluas 45,000 kaki persegi di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
Kawasan tersebut akan dipenuhi sensor gerakan dan kamera bagi memantau cara kanak-kanak bermain serta menilai kekuatan kognitif dan motor mereka.
Namun, hasrat itu terkubur apabila pandemik Covid-19 melanda.
Walaupun kecewa, Matsuzaka tidak berputus asa, ini kerana inspirasi baharu muncul apabila beliau menerima surat daripada pejabat bandar raya Tokyo.
Jemputan untuk anak perempuannya menjalani saringan perkembangan wajib bagi kanak-kanak berusia tiga tahun.
"Saya sedar bahawa amalan ini adalah standard di Jepun, tetapi di Malaysia, tiada sistem setara bagi kanak-kanak berumur antara tiga hingga enam tahun, ia satu jurang kritikal dalam fasa perkembangan otak paling penting," katanya.
Kekurangan akses kepada saringan awal itu menjadi titik tolak kepada misi baharu TOY8.
Saringan berasaskan permainan
Pada 2022, TOY8 memperkenalkan sistem saringan dan intervensi pembangunan pertama di Malaysia yang dikuasakan AI, dengan kerjasama Sunway University, Universiti Malaya, Pusat Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan dan bekas pengarah permainan Nintendo.
Melalui permainan dalam telefon pintar, sistem itu menilai lima domain utama perkembangan seperti bahasa, kognitif, kemahiran motor halus dan kasar serta keupayaan sosial-emosi.
"Permainan ini direka supaya menyeronokkan, mudah difahami dan sesuai dengan budaya tempatan, membolehkan guru tadika menjalankan saringan yang boleh dipercayai tanpa perlu kepakaran klinikal.
"Jika didapati kanak-kanak memerlukan sokongan perkembangan ringan atau sederhana, mereka akan dibantu melalui program intervensi TOY8 yang menyediakan lebih 3,000 aktiviti permainan menyeronokkan yang diperibadikan," jelas Matsuzaka.
Intervensi itu boleh dijalankan di sekolah atau di rumah dengan bimbingan guru atau penjaga terlatih.
Peranan guru diperkasa
Matsuzaka turut menekankan bahawa sistem TOY8 memperkasa guru tadika, bukan hanya dalam saringan tetapi juga dalam menyokong perkembangan kanak-kanak.
"Daripada hanya bergantung pada pakar yang terbeban, kita pindahkan sebahagian tanggungjawab kepada bilik darjah yang dilengkapi teknologi, supaya lebih ramai kanak-kanak dikenal pasti awal dan dibantu semasa tempoh kritikal perkembangan otak," katanya.
Sejak dilancarkan, TOY8 telah menyaring lebih 15,000 kanak-kanak di seluruh Malaysia dan beberapa negara Asean.
Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan model itu secara menyeluruh pada 2023.
Dengan pengintegrasian saringan digital ke dalam tadika awam, Sarawak kini menjadi contoh pendidikan awal inklusif di rantau ini.
"Menjelang hujung tahun, program kami di Sarawak akan diperluaskan untuk menyaring 600 kanak-kanak, dengan sokongan rangkaian pendidik dan intervensi terlatih yang semakin berkembang.
"Kami juga merancang untuk membentangkan model Sarawak ini sebagai cadangan dasar serantau pada Sidang Kemuncak Perniagaan Asean 2025 di bawah kerangka Inclusive Education 2.0, serta memperluaskan ke negara-negara Asean lain," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram