
PULAU Pinang kini bukan sekadar syurga makanan dan seni bina bersejarah tetapi ia juga sedang bersinar sebagai pentas kecantikan antarabangsa.
Buat pertama kalinya dalam sejarah, penggambaran luar Miss Hong Kong Pageant 2025 berlangsung di negeri itu, menjadikan Pulau Pinang tumpuan lensa global.
Bertemakan Do You Wanna Be, seramai 14 finalis Miss Hong Kong yang menawan kini berada di Pulau Pinang untuk merakam keindahan negeri itu dari perspektif ratu cantik.
BACA LAGI: [VIDEO] Pengalaman menginap di Assarraa, kediaman mewah, sarat tradisi dalam kawasan istana Brunei
BACA LAGI: Anak muda penat dengan 'dating app', pilih cara berkenalan secara bersemuka
Ditemani kru produksi dan selebriti TVB terkenal seperti Benjamin Yuen dan Moon Lau, mereka akan menjelajah lokasi-lokasi ikonik seperti George Town, Bukit Bendera dan pantai-pantai memukau untuk sesi penggambaran yang bakal ditonton jutaan penonton di seluruh dunia.
Pulau Pinang akan dipromosikan di bawah tema 'Penang: Not the Penang You Know'.
Pulau Pinang jadi tumpuan TVB buat kali pertama
Kerjasama antara kerajaan negeri Pulau Pinang, TVB dan syarikat penerbangan HK Express merupakan hasil lawatan kerja Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai ke Hong Kong pada Jun lalu.
Dalam lawatan itu, Pulau Pinang dipromosikan di bawah tema Penang: Not the Penang You Know, menampilkan sisi moden dan dinamik negeri itu yang jarang diketengahkan.
Hasilnya? Selain penggambaran Miss Hong Kong Pageant, laluan penerbangan langsung antara Hong Kong dan Pulau Pinang kini ditingkatkan kepada dua kali sehari bermula 26 Oktober 2025 nanti.
Ia satu perkembangan besar bagi pelancongan dua hala.
Bukit Bendera memberi latar belakang sempurna untuk sesi fotografi dan rakaman video.
Kecantikan bertemu warisan
Pulau Pinang dipilih bukan secara kebetulan kerana negeri itu memiliki segalanya daripada landskap yang menawan, seni bina kolonial terpelihara rapi, serta kehidupan budaya yang penuh warna-warni.
Jalan-jalan berbatu di George Town yang dihiasi mural seni, bangunan warisan dengan tingkap kayu berukir, serta suasana kampung moden di kaki Bukit Bendera memberi latar belakang sempurna untuk sesi fotografi dan rakaman video.
Bukan itu sahaja, Pulau Pinang turut terkenal sebagai syurga makanan yang menggoda deria.
Dari char kuetiaw berasap di tepi jalan hingga nasi kandar berempah pekat semuanya menambah lagi pengalaman penuh rasa buat kru produksi dan peserta ratu cantik.
Pulau Pinang terkenal sebagai syurga makanan yang menggoda deria.
Lebih sekadar pertandingan
Menurut Wong, kehadiran produksi ikonik seperti Miss Hong Kong di Pulau Pinang bukan hanya untuk hiburan semata-mata.
Ia adalah strategi pemasaran pelancongan moden yang berteraskan naratif, emosi dan visual berimpak tinggi.
Dalam dunia hari ini, promosi destinasi bukan lagi sekadar iklan, ia tentang mencipta cerita yang menyentuh hati dan menginspirasikan minat pelancong dari seluruh dunia.
"Melalui lensa kamera dan kisah para peserta, dunia akan menyaksikan keindahan, keunikan dan keramahan di Pulau Pinang," katanya.
Spot ratu cantik di sekitar anda
Sepanjang minggu ini, warga tempatan dan pelancong berpeluang menyaksikan sendiri rakaman Miss Hong Kong Pageant secara langsung di pelbagai lokasi sekitar Pulau Pinang.
Mana tahu, ketika anda sedang menikmati kopi ais di kafe warisan George Town, salah seorang finalis tiba-tiba melintasi anda lengkap dengan solekan, senyuman manis dan kamera di belakang.
Jadi, jika berada di Pulau Pinang minggu ini pasang mata kerana mungkin berpeluang untuk terserempak dengan ratu cantik Hong Kong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram