
DALAM era yang mana hubungan hanya memerlukan satu sentuhan jari di telefon bimbit, cinta tidak pernah semudah sekarang.
Dengan kewujudan aplikasi janji temu dan laman sesawang padanan jodoh, proses mencari pasangan kini semakin cepat.
Namun, bagi ramai orang muda, walaupun prosesnya bersifat digital, keinginan untuk sentuhan hubungan yang asli tetap tinggi.
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu masih hilang disembunyi bapa, akaun KWSP licin sejak 2016
BACA LAGI: Mahu sentiasa dalam 'mood' bercuti? Ikuti tip transformasi bilik seperti hotel
"Dulu orang jumpa jodoh melalui rakan-rakan, majlis keramaian, zaman universiti atau tempat kerja. Kemudian muncul agensi cari jodoh seperti Match.com dan eHarmony.
"Tapi aplikasi janji temu seperti Tinder, Bumble dan lain-lain telah mengubah landskap secara besar-besaran," kata Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Lunch Actually, Violet Lim.
Katanya, apabila terlalu banyak pilihan ditawarkan, ia mencetuskan satu fenomena yang dikenali sebagai 'paradoks pilihan' iaitu semakin banyak pilihan, makin sukar untuk membuat keputusan.
"Ia seperti menaiki 'lif hubungan'. Di aras pertama, orangnya baik. Tapi anda terfikir, mungkin ada yang lebih baik di aras kedua. Di sana, orangnya baik dan menarik. Lalu anda terus ke aras ketiga baik, menarik dan berpendidikan.
"Anda terus naik dan naik mencari yang lebih tinggi, lebih kaya, lebih sempurna sehinggalah semua orang sudah dimiliki orang lain," jelasnya.
Penat memilih
Benjamin Lee, 24, mula mencuba aplikasi janji temu selepas pulang dari luar negara.
"Ia tidak semudah yang disangka.
"Ramai gadis yang saya kenal hanya mahu lelaki yang sudah stabil, ada kereta, rumah dan kewangan kukuh. Kalau dua lelaki hampir sama dari segi rupa dan pendidikan, gadis akan pilih yang lebih kaya.
"Saya faham kestabilan penting. Saya juga ingin menyediakan yang terbaik untuk isteri, tapi realitinya saya baharu bina kerjaya. Zaman sekarang, susah untuk pasangan muda bertahan dengan satu pendapatan sahaja," katanya.
Kyle Ng, 25, juga berpendapat sama.
"Saya masih guna aplikasi, tapi kebanyakannya hanya hubungan 'situationship'. Budaya hubungan tidak serius sangat kuat secara online. Kalau nak cari yang serius, kena tapis banyak."
Menurutnya, ramai gadis yang dia kenali juga membawa beban emosi dari hubungan lalu walaupun masih muda.
Cabaran masa dan harapan
Aiman A., 35, seorang chef, akui kerja panjang yang sbibuk juga menyukarkan urusan mencari pasangan.
"Saya dah cuba aplikasi, 'blind date' yang kawan-kawan aturkan, malah sertai acara untuk bujang.
"Belum bertemu yang sesuai. Tapi saya percaya, kita hanya perlu jumpa satu yang tepat, bukan ribuan orang," katanya, yang kini memberi fokus kepada kerjayanya dahulu.
Dunia nyata
Menurut Pengacara KL Speed Dating, Tengku Nor Azah M, budaya 'swipe' ini akhirnya membosankan.
"Awal-awal seronok sebab boleh kenal ramai. Tapi lama-lama penat. Ramai mula 'ghosting' bukan sebab jahat, tapi sebab terlalu ramai nak dilayan," katanya.
Tambahnya, ramai kini mula kembali mencari interaksi yang lebih bermakna.
"Selepas pandemik, orang semakin serius. Mereka mahu hubungan nyata. Bukan sekadar swipe di rumah dengan baju tidur."
Sebagai pakar strategi korporat, beliau mulakan acara padanan kerana ramai rakannya sukar bertemu pasangan selepas umur 30.
"Biasanya orang jumpa pasangan semasa zaman universiti. Tapi bila masuk 30-an, ruang sosial jadi kecil kawan dah sibuk dengan anak-anak dan kita pun kurang keluar."
Katanya lagi, aplikasi memang berguna, tapi susah nak tahu siapa yang betul-betul serius.
Padanan tersusun
Acara anjuran beliau menekankan keselamatan dan rasa hormat.
"Kami tapis tetamu, sahkan latar belakang dan pastikan nisbah seimbang. Dalam satu malam, anda akan dapat 10 'mini-date' secara bersemuka. Cepat dan berkesan."
Tekanan sosial
Rina R., 42, ibu tunggal dan peguam, berkata, sama ada online atau bersemuka, mencari cinta tetap sukar.
"Kebanyakan lelaki sebaya sudah berkahwin. Kalau masih bujang pula biasanya mahu wanita lebih muda. Ada tak kisah pula mungkin rasa 'insecure' sebab saya ada firma sendiri."
Rina mula menyertai acara singles setahun selepas bercerai.
"Walaupun belum jumpa yang istimewa, saya tak anggap ia membazir. Saya keluar, makan malam, berbual dengan orang menarik dan berseronok."
Tambahnya, dia dapat kawan baharu yang masih berhubung hingga kini.
Menurut Tengku Nor Azah, ramai peserta wanita adalah profesional seperti doktor, peguam, usahawan yang mahu pasangan setara dari segi pemikiran.
"Tapi masih wujud jangkaan sosial yang stereotaip. Ada lelaki yang rasa kurang jika wanita bergaji lebih tinggi. Tapi hubungan bukan soal pangkat atau gaji, ia soal keserasian intelektual."
Perlu bimbingan
Apa yang menjadikan seseorang itu pasangan ideal?
"Kami tanya pelanggan soalan seperti, 'apa yang anda tak boleh hidup tanpanya?" kata Lim.
"Seorang lelaki jawab, 'melihat matahari terbit'. Ini bantu kami faham dia jenis yang sukakan kedamaian, alam dan kesederhanaan.
Jadi padanan bukan sekadar senarai semak, ia tentang nilai hidup bersama."
Menurut Lim dan Tengku Nor Azah, kejayaan dalam percintaan bukan soal mencari yang sempurna, tapi tampil dengan kesedaran diri dan kematangan emosi.
"Ada orang rasa diri mereka lapan, tapi nak pasangan sembilan atau 10. Tapi yang sembilan juga cari sembilan atau 10," kata Lim.
Ada juga yang terlalu terpengaruh dengan drama Korea, contohnya, wanita mahu lelaki yang melebihi 1.8m, sedangkan purata lelaki Malaysia ialah 1.65m.
Di sinilah bimbingan janji temu diperlukan.
"Bila dating untuk jangka panjang, kita kena bezakan kriteria penting dan remeh. Ketinggian itu kriteria luaran. Apa yang penting ialah nilai dan keserasian sebenar," jelas Lim. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram