AI bantu kenal pasti alergi kulit, lakukan sendiri di rumah, diagnosis lebih cepat


  • Sihat
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Ujian alergi kulit kini boleh dilakukan sendiri di rumah dengan bantuan teknologi AI dan kamera telefon pintar.

ALERGI kulit antara masalah lazim berlaku di seluruh dunia sehingga an boleh jadi sangat merisaukan untuk didiagnosis.

Tapi kini, ada satu inovasi baharu yang sedang dibangunkan dan bakal mengubah segalanya.

Di Mayo Clinic, Amerika Syarikat, pakar dermatologi, Dr. Alison Bruce sedang bekerjasama dalam pembangunan satu alat ujian alergi kulit berasaskan kecerdasan buatan (AI).

BACA LAGI: [VIDEO] Pengalaman menginap di Assarraa, kediaman mewah, sarat tradisi dalam kawasan istana Brunei

BACA LAGI: Gaya seni bina klasik tepi pantai, apa itu rumah Shingle?

Alat itu direka untuk memudahkan ujian tampalan alergi (patch test), yang mana pesakit boleh melakukannya sendiri di rumah.

Mereka hanya perlu lekat tampalan, tanggalkan pada waktu ditetapkan, kemudian ambil gambar menggunakan telefon pintar masing-masing.

Teknologi AI kemudian akan bantu mengenal pasti reaksi pada kulit dan memberi panduan kepada doktor dalam membuat diagnosis.

Akses lebih mudah, diagnosis lebih cepat

Ini satu langkah besar ke hadapan, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman atau sukar mendapatkan rawatan pakar kulit.

Menurut Dr. Bruce, hampir satu daripada lima orang mengalami alergi kulit termasuk simptom seperti kulit gatal, bengkak, kemerahan, bersisik atau merekah.

Biasanya, punca alergi ialah bahan yang menyentuh kulit dan mencetuskan reaksi.

Ia bukan sahaja disebabkan oleh tumbuhan seperti poison ivy, tetapi juga barang harian seperti barang kemas, minyak wangi, losen dan sabun.

"Kalau terlalu teruk, kulit boleh jadi sangat merah dan radang sampai pecah dan membentuk rekahan kecil," jelas Dr. Bruce.

Ujian tampalan kini lebih pintar

Kaedah biasa untuk kenal pasti punca alergi adalah dengan melakukan ujian tampalan di klinik dermatologi.

Tapi proses itu memakan masa kerana pesakit perlu datang ke klinik beberapa kali.

Dengan bantuan AI, proses itu boleh dipermudahkan.

"Bayangkan anda boleh lekatkan tampalan sendiri, tanggalkan pada masa yang ditetapkan, ambil gambar reaksi kulit dan biar AI analisa.

"Contohnya, AI kesan reaksi merah pada bahan nikel, dan ia sahkan anda ada alergi terhadap nikel," kata Dr Bruce.

Teknologi itu bukan sekadar menjimatkan masa, tetapi juga membuka akses rawatan kepada lebih ramai orang.

"Ia boleh dilakukan dari jauh. Hanya perlu kamera, AI dan panduan ringkas. Tak perlu pun datang ke pusat pakar macam Mayo Clinic," tambahnya.

Dengan kemajuan itu, masa depan rawatan alergi kulit kelihatan lebih cerah dan lebih dekat di hujung jari anda. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram