
JIKA dahulu pinggan putih licin atau bermotif bunga menjadi pilihan untuk hidangan, kini trend itu sudah berubah.
Dalam dunia peralatan makanan, kecacatan bukan lagi dianggap kekuranganm tapi sebaliknya menjadi tarikan utama.
Mangkuk yang senget, cawan bercorak tidak simetri dan tekstur kasar kini menjadi pilihan ramai kerana memberi sentuhan santai dan mesra ketika menjamah selera.
Menurut penulis dan pakar penyediaan meja makan, Julia Dettmer, set pinggan mangkuk yang tidak sempurna mampu mencetuskan suasana lebih selesa dan tidak terlalu formal ketika makan bersama keluarga atau rakan-rakan.
"Minum kopi daripada cawan yang sedikit kasar pada sentuhan jauh lebih santai berbanding cawan porselin licin dan sempurna," katanya.
Dua aliran berbeza dalam dunia pinggan mangkuk
Dalam masa sama, pasaran pinggan mangkuk kini dilihat terbahagi kepada dua aliran utama.
Satu menekankan elemen buatan tangan dengan rupa kasar dan tidak sempurna mankala satu lagi kekal dengan gaya klasik serba putih yang mewakili ketelitian dan kesempurnaan.
Warna putih, yang suatu ketika dahulu dikira ketinggalan zaman, kini kembali sebagai pilihan utama.
Set pinggan mangkuk berwarna putih kini ditonjolkan semula sebagai klasik sepanjang zaman sama ada untuk kegunaan harian mahupun acara istimewa.
Christina Barton-van Dorp, wakil kepada lebih 4,000 kedai barangan dapur dan rumah di Jerman, berkata, bahawa kebangkitan trend putih itu hadir sebagai tindak balas kepada trend seramik buatan tangan yang kelihatan kasar.
"Porselin putih adalah simbol makan malam kelas atasan. Reka bentuknya yang ringkas dan elegan memang sesuai untuk sajian bertaraf restoran di rumah," jelasnya.
Beliau menambah, pinggan mangkuk putih membantu menyerlahkan sajian utama terutamanya bagi mereka yang gemar memasak dan menampilkan hidangan seperti seorang chef profesional.
Francois et Moi memperbaiki pinggan mangkuk pecah menggunakan teknik Kintsugi.
Namun, tidak semua pembeli atau pengguna mudah menerima konsep kecacatan yang disengajakan itu.
Sebagai peniaga, cabarannya adalah meyakinkan pelanggan bahawa kecacatan itu bukan kerana rosak tetapi sebahagian daripada reka bentuk seni.
"Ada yang suka, ada juga yang tetap mahukan pinggan porselin putih bersih," ujar Barton-van Dorp.
Dettmer pula menyarankan pengguna untuk melabur dalam porselin putih berkualiti tinggi seperti Fine Bone China, yang bukan sahaja tampak mewah dan halus tetapi juga tahan lasak dan boleh digunakan bertahun-tahun lamanya.
Gaya seramik ‘cacat’ buatan tangan seperti rekaan Starfishly.Clay ini kian menjadi pilihan popular dalam kalangan peminat hiasan dalaman.
Gaya gelap makin diterima
Bagi mereka yang inginkan kelainan di antara gaya putih klasik dan seramik ‘cacat’ buatan tangan, pinggan mangkuk berwarna gelap kini menjadi pilihan popular.
Pinggan dalam rona hijau gelap, biru tua atau ungu mula memenuhi pasaran yang mana sebelum ini dianggap pelik.
Walaupun hitam masih dalam kategori niche, warna-warna gelap itu mampu menyerlahkan warna makanan seperti nasi putih, tomato merah dan sayur hijau.
"Sepuluh tahun lalu, trend ini sukar dibayangkan. Tapi kini, ia semakin diterima ramai," kata Barton-van Dorp.
Apa pun pilihannya, sama ada pinggan bercorak tidak sekata, putih klasik atau gelap elegan peralatan makan hari ini lebih daripada sekadar fungsi.
Ia menjadi refleksi gaya hidup, personaliti dan cara kita menikmati makanan bersama insan tersayang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram