Tuntutan nafkah cecah RM70,750, ibu ini buktikan pentingnya simpan rekod supaya bekas suami tak culas


  • Cinta
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Seorang ibu menyenaraikan segala tuntutan nafkah yang perlu dilunaskan oleh bekas suami demi kebaikan anak-anaknya yang masih kecil. — Gambar Hiasan

CINTA yang pernah bersemi dalam rumah tangga tidak semestinya kekal selamanya. 

Namun, apabila kasih terputus di pertengahan jalan, tanggungjawab terhadap anak-anak tidak sepatutnya terabai.

Seorang wanita, Mizah Salleh berkongsi kisah pengorbanannya di laman Facebook selepas bekas suami gagal menunaikan nafkah sejak lebih empat tahun lepas.

BACA LAGI: 'Dah tak ada orang boleh hina kita lagi', selepas ketepikan impian sendiri selama 15 tahun demi adik-adik yatim piatu, abang akhirnya genggam ijazah

BACA LAGI: Luna Maya pilih tema 'Matahari dan Bulan', resepsi unik siap ada gelanggang tenis dalam dewan

Mizah berkata, beliau terpaksa mencatat setiap bayaran yang tidak pernah diberikan oleh si bapa demi memastikan hak anak-anak tidak terpadam begitu sahaja.

Menerusi buku rekod yang dikongsi, tunggakan nafkah sejak November 2020 hingga Disember 2024 kini berjumlah RM70,750.

“Gambar ini bukan sekadar catatan akaun. Ini bukti bertahun-tahun saya menanggung semua perbelanjaan anak-anak tanpa sesen pun bantuan daripada bapa kandung mereka,” katanya.

Mizah berkata, mahkamah telah menetapkan nafkah bulanan sebanyak RM1,350 bersamaan RM450 bagi setiap anak memandangkan beliau memiliki tiga orang anak. 

Selain itu, bekas suaminya juga diwajibkan membayar perbelanjaan awal persekolahan sebanyak RM200 bagi seorang anak yang sudah berusia tujuh tahun.

“Jumlah ini bukan saya sendiri yang tentukan. Ia keputusan mahkamah. Sekarang dua anak saya sudah bersekolah rendah, seorang masih di tabika. Sebab itu untuk awal sekolah hanya RM400,” katanya.

Walaupun Mizah kini menemui cinta hati baharu yang sanggup menjaga anak-anak tiri, beliau menganggap tanggungjawab bekas suami tetap perlu ditunaikan.

“Saya tak pernah minta lebih, hanya yang menjadi hak anak-anak. Kalau dulu boleh berjanji di hadapan hakim dan ALLAH untuk beri nafkah setiap bulan, kenapa sekarang senyap tanpa khabar?” soalnya.

Seorang pengguna media sosial, Al Battani mencadangkan agar hak penjagaan diberikan kepada bekas suami jika terlalu membebankan.

Namun bagi Mizah, itu bukan penyelesaian yang wajar memandangkan bekas suaminya sendiri yang tidak mahu menjaga. 

“Kalau dia nak jaga anak, saya dah beri peluang. Sebelum ini, dia kata cuma mahu ambil anak perempuan sahaja. Saya tunggu, sampai sekarang dah tiga tahun tak datang ambil.

"Anak saya sampai pernah tanya kenapa tak berbintikan bapa tiri. Mereka sendiri nampak saya ditendang, dimaki hamun, diganggu ah long akibat sikap bapa kandung. Agak-agak selamatkah anak dalam jagaan begitu?” katanya.

Mizah menegaskan, nafkah bukan soal pilihan, sebaliknya tanggungjawab yang wajib ditunaikan.

“Anak-anak berhak hidup selayaknya iaitu cukup makan, cukup kasih dan cukup perhatian. Saya akan terus mencatat, terus menyimpan bukti dan terus bertahan kerana ini hak anak-anak saya yang tidak sepatutnya dilupakan,” katanya.

Mizah berkata, walaupun anak-anaknya masih kecil dan belum mengerti berkait tunggakan nafkah, tetapi kesannya tetap terasa secara langsung. 

"Buku sekolah tidak dapat dibeli tepat pada waktunya, kasut yang koyak terpaksa dipakai lebih lama dan keinginan anak-anak sering terpaksa dikorbankan demi keperluan yang lebih mendesak.

“Setiap bulan saya catat, bukan untuk menagih simpati tetapi supaya anak-anak tahu mereka tidak pernah saya abaikan walau sesen pun,” katanya.

Di ruangan komen, seorang pengguna, Aida menasihatkan agar semua resit dan bukti perbelanjaan disimpan rapi untuk dijadikan dokumen sokongan sekiranya tindakan mahkamah diambil.

"Kalau tulis semua orang boleh tulis. Kena simpan semua resit-resit perbelanjaan dan fotostat siap-siap. Zaman sekarang peguam hanya nak sekali dengan bukti," katanya. 

Pengguna lain, Omank SP pula mencadangkan supaya kes dibawa semula ke mahkamah bagi mendapatkan perintah potongan gaji terhadap bekas suami.

“Kalau nak berkongsi untuk dapatkan nasihat, itu baik. Tapi hati-hati, kadang-kadang lebih banyak kesan negatif. masing-masing nak tunjuk siapa betul siapa salah. Cerita sebenar hanya empunya diri yang tahu. Macam mana pun, selamat berjuang,” tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram