
JIKA ada figura yang sinonim dengan kemeriahan gaya hari raya nama pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan berada dalam senarai atas.
Setiap kali Syawal tiba, penampilan beliau sekeluarga berbusana sedondon anggun dan segak memikat pandangan mata. Bahkan, tidak kurang juga menjadi rujukan ramai dalam menentukan tema dan warna pilihan.
Meskipun terkait dengan isu pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) tahun lalu, namun sambutan hari raya Rozita atau mesra dengan sapaan Che Ta sekeluarga tetap meriah seperti biasa. Bagi beliau lebaran perlu diraikan dengan penuh makna, bergaya dan semangat kekeluargaan.
BACA LAGI: Teguran air manis jadi perdebatan, Dr. Rafidah terus ingatkan bahaya makanan, minuman tak sihat
Che Ta (tiga dari kanan) melakukan pemilihan warna tanpa melihat trend semasa. — Instagram/@rozitachewan1
Dengan cita rasa fesyen tersendiri dan menitikberatkan setiap perincian ibu kepada tiga cahaya mata itu gemar menjadikan Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi 'pentas' mempersembahkan keindahan seni busana dalam konteks kekeluargaan.
Bersama Majoriti, Che Ta, 52, berkongsi bagaimana persiapan raya bukan sekadar rutin tahunan, tetapi satu bentuk ekspresi diri dan kekeluargaan yang unik.
Menurut pelakon drama Kiah Pekasam itu, perancangan baju raya bermula dengan dirinya dahulu.
Pemilihan warna dan tema ditentukan berdasarkan baju sendiri sebelum disesuaikan dengan busana suami aktor, Zain Saidin dan anak-anak.
Katanya, anak-anak ‘reda’ mengikut sahaja pilihan warna ditentukan beliau demi memastikan penampilan keluarga sedondon dan harmoni dalam setiap gambar yang dirakam.
“Selalunya saya akan cari baju untuk diri sendiri dulu, kemudian baru fikir warna seisi keluarga. Rona menjadi pilihan pastikan bukan trend semasa.
"Contohnya kalau tahun tu orang ramai pakai rich brown, saya akan elakkan,” jelasnya.
Menariknya, keseluruhan idea dan perancangan datang sepenuhnya dari Che Ta sendiri, termasuklah pencarian kain, pemilihan warna, hinggalah rekaan akhir.
“Memang semua idea saya. Saya akan cari kain menarik perhatian di kedai. Apabila dah jumpa warna dan tekstur yang sesuai, baru saya olah idea rekaan," ujar beliau.
Che Ta memastikan anak-anaknya cukup persalinan sepanjang Syawal yang padat dengan undangan dan acara keluarga. — Instagram/@rozitachewan1
Persiapan awal
Ditanya soal masa yang diambil untuk membuat persiapan raya, kakak kepada pelakon Ayu Raudhah tersebut mengakui tidak suka kerja saat akhir.
Justeru, semua persiapan dilakukan lebih awal, kadangkala bermula sebelum masuk tahun baharu lagi.
“Saya memang akan siapkan semua sebelum Ramadan. Apabila bulan puasa, saya fokus pada ibadah dan perniagaan sahaja. Tak mahu pening fikir baju lagi,” katanya yang juga isteri kepada pelakon, Zain Saidin.
Kerjasama dengan pereka fesyen ternama
Walaupun idea datang daripada dirinya, Che Ta tetap bekerjasama dengan pereka fesyen profesional untuk merealisasikan rekaan diingini.
Tahun ini, antara nama terlibat termasuklah Ezuwan Ismail, Qudyn Aziz, Syafieq Ayman dan Fiziwoo.
“Saya bawa kain, saya bagi idea rekaan. Mereka (pereka fesyen) cuma olah sedikit. Saya ni pun acah-acah designer juga,” katanya berseloroh.
tampil kemas sepanjang Syawal
Bercerita jumlah helaian baju pula, setiap tahun, Che Ta memastikan dirinya dan ahli keluarga cukup persalinan sepanjang Syawal yang padat dengan undangan dan acara keluarga.
Walaupun jumlahnya agak banyak, ia lebih kepada persediaan praktikal dan kepuasan peribadi terhadap penampilan.
“Selalunya saya akan sediakan jumlah baju raya yang sama untuk setiap orang. Kadang-kadang mereka beraya tanpa saya dan ada juga saya beraya tanpa mereka," ujar beliau.
Tidak hanya pada hari raya, keluarga Che Ta juga mengenakan busana sedondon pada majlis keramaian lain. — Instagram/@rozitachewan1
Hobi jahit manik
Satu lagi keunikan Che Ta adalah sentuhan peribadi pada pakaian.
Walaupun bekerjasama dengan pereka, beliau tetap gemar menambah sendiri elemen seperti manik dan bulu untuk menambahkan seri pada baju raya.
“Kadang tengok macam tak cukup menyelah, saya tambah sendiri dengan manik atau fur. Saya memang obses bab manik,” katanya.
Mengulas perbezaan fesyen raya zaman dahulu dan sekarang, Che Ta mengakui banyak perubahan yang berlaku.
Jika dahulu gaya raya tertumpu pada rekaan tradisional, kini lebih santai dan moden.
"Kalau dulu tertakluk kepada konsep tradisional. Sekarang banyak diubah menjadi lebih santai. Kadang-kadang tengok macam baju nak pergi mall pun ada," jelasnya.
Dengan sentuhan peribadi, perancangan rapi dan cita rasa tersendiri, Che Ta terus memberi inspirasi kepada ramai untuk meraikan Syawal bukan saja dengan gaya, tetapi dalam semangat kekeluargaan yang erat dan penuh makna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram