
PEMPENGARUH dan personaliti popular, Maryam Younarae diumumkan sebagai penerima anugerah Most Influential Mother of The Year 2025 oleh Asian Digital Parenting Awards yang berlangsung di ibu negara pada Ahad.
Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan atas pengaruh positif Maryam dalam mempromosikan nilai kekeluargaan dan pendidikan awal kanak-kanak menerusi laman sosial.
Merakamkan penghargaan penuh buat suaminya Ryzal Ibrahim atas segala dorongan diberikan, kejayaan tersebut menurutnya tidak mampu dicapai sendirian tanpa sokongan seisi keluarganya.
BACA LAGI: Tepis dakwaan anak ramai rezeki sempit, Ustazah Asma' amal 'zikir penat' ketika stress
"Momen ini tidak akan berlaku tanpa penyokong terbesar saya iaitu suami saya, pengorbanan yang sangat besar, dorongan dan cara dia memberikan semangat.
"Jadi anugerah ini bukan untuk saya sahaja, ia untuk setiap ibu bapa di luar sana yang sentiasa mencuba melakukan yang terbaik untuk keluarga.
"Dan untuk dua cahaya mata saya, Rina dan Rian terima kasih kerana memilih saya untuk menjadi Omma awak. Kamu berdua adalah kegembiraan saya selamanya," katanya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, Maryam yang berasal dari Korea Selatan sebelum ini memikat hati jutaan rakyat tempatan ekoran usahanya dalam mempelajari dan menggunakan bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian termasuk ketika membesarkan anak.
Kedua-dua pasangan sejoli itu kemudiannya menjadi tumpuan ramai apabila Maryam mula aktif menghasilkan video tentang kehidupan rumah tangganya selain turut berkongsi keunikan perkahwinan percampuran budaya antara Malaysia dan Korea Selatan.
Antara yang paling dikagumi peminat ialah kesungguhannya dalam mempelajari bahasa Malaysia demi memudahkan komunikasi dengan keluarga mentua serta rakyat tempatan.
Usai dikurniakan dua cahaya mata, perkongsian tip dan didikan anaknya turut meraih tumpuan ramai serta menjadi ikutan masyarakat tempatan yang amat mengagumi perkembangan kesihatan anaknya, Rina dan Rian.
Bukan sekadar ikon ibu digital, Maryam secara tidak langsung menjadi lambang kasih sayang, ketekunan dan keikhlasan seorang wanita bergelar ibu yang wajar dicontohi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram