
KETIKA doktor memaklumkan bahawa anak dalam kandungan tidak mempunyai harapan untuk hidup, seorang ibu tetap memilih untuk yakin berjuang.
Kepercayaan itu membuahkan hasil apabila bayi pramatang bernama Nash Keen kini meraikan ulang tahun pertama dalam keadaan stabil.
Lebih istimewa, Nash turut menerima pengiktirafan Guinness World Records sebagai bayi paling pramatang di dunia yang berjaya hidup selepas dilahirkan pada usia kandungan 21 minggu dengan berat hanya 283 gram.
Nash menerima pengiktirafan bayi paling pramatang di dunia yang berjaya hidup.
Ibunya, Mollie Keen berkata, anak lelakinya kini membesar dengan penuh keceriaan walaupun perlu bergantung kepada rawatan khas sejak dilahirkan.
“Dia bayi yang sangat ceria, sentiasa tersenyum dan penuh keazaman,” katanya.
Nash dilahirkan di Hospital Kanak-Kanak Stead Family, University of Lowa, Amerika Syarikat pada Julai tahun lepas iaitu 133 hari lebih awal daripada tarikh jangkaan bersalin.
Menurut doktor, kebanyakan bayi yang lahir sebelum 22 minggu tidak mampu bertahan hidup dan prosedur menyelamat biasanya tidak dilakukan.
Namun, bagi Mollie, pilihan untuk berjuang adalah satu-satunya jalan yang boleh dibuat terutama selepas beliau dan suami, Randall kehilangan anak pertama akibat keguguran.
Tambahan pula, Mollie disahkan menghidap masalah kesihatan yang menyukarkan kandungan bertahan sehingga cukup tempoh.
Pada minggu ke-20 kehamilan, doktor mendapati serviks Mollie sudah terbuka dua sentimeter ketika membuat pemeriksaan rutin.
Nash kini meraikan ulang tahun pertama dalam keadaan stabil.
Namun, beliau diberitahu bahawa pasukan neonatal di hospital itu sanggup melakukan intervensi khas sekiranya bayi dilahirkan tepat pada minggu ke-21.
Dengan bantuan rawatan perubatan kecemasan, kelahiran Nash berjaya ditangguhkan beberapa hari sehingga mencapai usia kandungan 21 minggu iaitu satu titik kritikal yang memberi peluang kepada pasukan doktor menyelamatkan nyawanya.
“Sepanjang berada di unit rawatan rapi, saya lihat doktor dan jururawat sentiasa tenang. Kami belajar untuk ikut ketenangan mereka. Jika mereka tidak panik, kami juga cuba bertenang,” katanya.
Selepas dilahirkan, Nash ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) selama enam bulan.
Setiap hari adalah perjuangan buat Nash dan ibu bapanya yang setia menunggu dan berharap anaknya itu berada dalam keadaan seimbang.
Dr. Malinda Schaefer, pakar obstetrik yang mengendalikan kelahiran Nash menyifatkan kelahiran itu sebagai satu pencapaian besar dalam bidang perubatan ibu dan janin.
Kini, pada usia lebih setahun, Nash masih memerlukan oksigen bantuan untuk bernafas dan hanya boleh makan melalui tiub penyusuan.
Walaupun belum boleh merangkak, Nash sudah mula berguling dan berdiri dengan bantuan.
Beliau juga mengalami kecacatan kecil pada jantung, namun doktor percaya keadaan itu akan sembuh seiring pertumbuhan fizikalnya.
“Dia sedang belajar berdiri. Kakinya kuat, dan dia semakin banyak bergerak,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram