Persis remaja, rupanya dah bergelar nenek, ini rahsia cantik idol Jepun, cecah usia 44 tahun


  • Bonda
  • Sabtu, 26 Jul 2025

Fujiko sudah bergelar nenek kepada cucu berusia tiga tahun.

SIAPA sangka seorang wanita berusia 44 tahun boleh kelihatan muda seakan-akan usia 20-an.

Lebih mengagumkan, beliau bukan sahaja seorang ibu tunggal, tetapi juga sudah bergelar nenek kepada cucu berusia tiga tahun.

Itulah dapat digambarkan tentang seorang anggota kumpulan Akujo Jidai dari Hiroshima, Jepun yang mencuri tumpuan ramai apabila kisah hidupnya tular di media sosial. 

BACA LAGI: Sebelum rancang anak kedua, tengok sikap suami, banyak alasan atau ringan tulang sama-sama jaga amanah

BACA LAGI: 'Genap sebulan sejak janji, maut tak pisahkan kita', balu Diogo Jota pecah kebisuan, imbau hari terindah

Dalam sebuah industri hiburan yang sering mengangkat figura wanita muda, bujang dan tiada komitmen keluarga, kehadiran Fujiko dianggap luar biasa.

Dilahirkan pada tahun 1981, Fujiko dibesarkan dalam suasana tegas dan konservatif. 

Beliau berkahwin pada usia 17 tahun selepas hamil ketika remaja, namun rumah tangganya hanya bertahan selama dua tahun. 

Sejak itu, beliau membesarkan dua anak sebagai ibu tunggal sambil bekerja pelbagai jenis pekerjaan termasuk di kedai buku, restoran dan syarikat telekomunikasi.

Setelah lebih dua dekad memikul tanggungjawab sebagai ibu dan pekerja sepenuh masa, kehidupan Fujiko berubah apabila beliau dijemput menyertai satu persembahan pentas bersama kumpulan Akujo Jidai.

Persembahan tersebut membuka jalan baharu dalam hidupnya apabila beliau ditawarkan peluang untuk menyertai kumpulan tersebut secara rasmi.

Kebetulan, pada waktu sama anak perempuannya sedang melahirkan cucunya yang menjadikan Fujiko secara rasmi bergelar nenek ketika membuat penampilan sulungnya sebagai idol.

Fujiko merupakan seorang yang sangat bekerja keras. 

Pada siang hari, Fujiko bekerja sebagai kakitangan pejabat.

Namun sewaktu malam, beliau tampil sebagai idol di pentas hiburan tempatan iaitu satu identiti yang tidak diketahui oleh rakan-rakan sekerjanya.

Beliau mengakui bukan mudah untuk membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan dunia seni, namun minat yang mendalam terhadap seni persembahan menjadi pendorong utama.

“Segala pengalaman hidup yang saya lalui memberi makna pada setiap lagu dan tarian yang saya persembahkan. Itu kekuatan saya,” ujarnya.

Fujiko sering ditanya mengenai rahsia wajah mudanya yang tidak sepadan dengan usia sebenar. 

Namun, beliau menjelaskan bahawa tiada rawatan istimewa atau produk mahal digunakan.

Sebaliknya, beliau mengamalkan gaya hidup aktif, kerap menari, mengelakkan rasa stres, menjaga pemakanan secara sederhana dan mengekalkan pemikiran yang positif.

“Apabila kita melakukan sesuatu yang kita cintai, tubuh dan wajah turut memancarkan tenaga yang positif," katanya

Majoriti peminat Akujo Jidai terdiri daripada wanita berusia 40-an dan ke atas, yang melihat Fujiko sebagai lambang kekuatan, ketabahan dan inspirasi.

Dalam budaya Jepun yang sering menyempitkan peranan wanita selepas berkahwin atau berkeluarga, kisah Fujiko memberi nafas baharu buat masyarakat terutama wanita.

“Saya tidak pernah bayangkan akan berdiri di pentas sebagai idol pada usia begini. Tetapi apabila peluang itu datang, saya tidak menolaknya. Tiada istilah terlalu lambat untuk bermula,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram