
SERI Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) dari Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya melakar sejarah membanggakan apabila membawa pulang pingat emas (Gold Award) pada 11th World Orchestra Festival yang berlangsung di Vienna, Austria pada Ahad.
Kejayaan itu dikongsikan menerusi hantaran video rasmi SPWinds di Instagram, yang menunjukkan detik penuh emosi ketika diumumkan sebagai penerima anugerah tertinggi dalam kategori pertandingan tersebut.
BACA LAGI: Tepis dakwaan anak ramai rezeki sempit, Ustazah Asma' amal 'zikir penat' ketika stress
"We brought home the gold! Kemenangan ini bukan sekadar pingat ia adalah simbol dedikasi, semangat berpasukan yang tidak kenal lelah, dan kerja keras selama berbulan-bulan.
"Bermula dari latihan yang panjang, malam tanpa tidur hingga ke detik gemilang ini di pentas antarabangsa, semuanya berbaloi.
"Untuk mengadakan sebuah persembahan di salah satu dewan muzik paling berprestij di dunia sudah menjadi impian, meraih anugerah emas? Ia adalah sejarah," katanya di laman Instagram.
Dalam pada itu, SPWinds merupakan wakil tunggal Malaysia di festival antarabangsa itu yang menghimpunkan lebih 2,000 pemuzik muda dari seluruh dunia.
Festival tersebut yang berlangsung selama empat hari dari 23 hingga 26 Julai menjadi platform utama buat kumpulan muzik orkestra dari serata dunia mempamerkan kehebatan mereka.
Pencapaian cemerlang SPWinds sekali gus mengangkat nama Malaysia dalam kalangan negara-negara yang aktif dalam pembangunan muzik orkestra.
Dalam persembahan mereka, SPWinds mengetengahkan karya tempatan yang digubah semula dalam susunan simfoni, termasuk lagu ikonik Cindai nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Umpan Jinak di Air Tenang (Dayang Nurfaizah).
Kumpulan yang terdiri daripada pelajar perempuan Sekolah Seri Puteri itu bukan sahaja mempamerkan ketepatan teknikal muzik, tetapi juga berjaya menyentuh emosi penonton melalui susunan penuh semangat dan budaya Malaysia.
Ditubuhkan sejak 1976, SPWinds sudah lama dikenali sebagai salah satu kumpulan orkestra pelajar terbaik negara.
Kejayaan itu sekali gus memperlihatkan pendidikan muzik negara berpotensi tinggi untuk meraih kejayaan jika diberi sokongan dan bimbingan sewajarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram