Bentuk 'cold violence' ramai tak sedar, 'spark' perlu usaha dua belah pihak — Pakar


  • Cinta
  • Rabu, 16 Jul 2025

Cold violence menjadi pembunuh senyap dalam rumah tangga seseorang. — Gambar Hiasan

PADA mata orang luar, sesebuah rumah tangga itu kelihatan tenang. Tiada pergaduhan besar, tiada jeritan atau kekasaran. 

Namun, di sebalik senyuman dipamerkan, ada jiwa yang terpendam, luka tak berdarah dan kesunyian menyesakkan. 

Itulah realiti dialami sesetengah pasangan terperangkap dalam hubungan penuh cold violence iaitu satu bentuk penderaan emosi senyap tetapi menyakitkan.

BACA LAGI: Olivia Rodrigo hulur sumbangan kepada Palestin, seru orang ramai tidak tutup mata dengan penderitaan di Gaza

BACA LAGI: Sunyi hidup sendiri, warga emas berhabis RM 1.1 juta beli barangan 'online', siap sewa pangsapuri hanya untuk simpan timbunan bungkusan

Isu itu mula mendapat perhatian selepas seorang komposer wanita berkongsi pengalaman melepaskan diri daripada perkahwinan didiamkan terlalu lama. 

Perkongsian itu membuka mata masyarakat bahawa penderaan dalam rumah tangga bukan hanya berlaku secara fizikal, tetapi juga secara halus, dalam bentuk yang tidak kelihatan.

Tampil menjelaskan lebih lanjut, Pakar Psikologi dan Kaunseling daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd Saad berkata, cold violence merujuk kepada keganasan emosi yang tidak melibatkan sebarang sentuhan, namun cukup untuk menghancurkan semangat dan kestabilan pasangan.

Menurut Dr Fauziah, antara tanda-tanda cold violence termasuklah:

- Pasangan sengaja mendiamkan diri dalam tempoh lama.

- Enggan berkomunikasi atau berbincang apabila wujud masalah.

- Tidak menunjukkan rasa empati, kasih sayang atau keprihatinan.

- Menjauhkan diri secara perlahan-lahan tanpa sebab jelas.

- Mengawal dan memanipulasi emosi secara diam.

"Penderaan seperti ini membuatkan seseorang rasa tidak penting, tidak dihargai dan terasing walaupun masih dalam ikatan perkahwinan.

"Jika berlarutan, ia boleh menghakis kepercayaan dan mencetuskan perceraian,” katanya Dr Fauziah kepada Majoriti.

Tambah beliau, jika situasi seperti silent treatment berlaku melebihi seminggu tanpa usaha untuk berdamai, itu sudah menjadi tanda hubungan perlu diberi perhatian serius. 

Jika berlarutan hingga tiga minggu atau sebulan, ia menunjukkan wujudnya jurang emosi yang boleh merosakkan hubungan dalam diam.

“Jangan tunggu sampai dah tawar hati baru nak usaha. Bila hubungan mula sunyi, cepat-cepat cari jalan. Libatkan pihak ketiga seperti kaunselor atau ahli keluarga sebelum terlambat,” kata Fauziah.

Namun begitu, tidak semua hubungan boleh diselamatkan. 

Jika kedua-dua pihak sudah tidak mahu mencuba dan hanya bertahan demi status, sudah tiada komunikasi, tiada rasa hormat dan hanya tinggal penat, maka perpisahan boleh jadi jalan terbaik demi kesejahteraan emosi masing-masing.

Bagi pasangan yang masih mahu berusaha, Fauziah menyarankan supaya menghidupkan semula hubungan dengan melakukan perkara bersama-sama. 

Antara cara yang boleh bantu hidupkan semula hubungan termasuk:

Ingat balik kenangan manis.

Cuba meluangkan masa bersama untuk imbas semula saat-saat indah masa awal bercinta atau baru berkahwin. 

Kenangan itu boleh bantu timbulkan semula rasa sayang yang lama tenggelam.

Buat aktiviti baru bersama.

Pasangan boleh melancong, sertai kelas masakan atau mencuba hobi baharu bersama-sama. 

Aktiviti baharu boleh mencipta semula semangat dan keseronokan dalam hubungan.

Berbual dari hati ke hati.

Ambil masa untuk bercakap tentang perasaan, harapan dan impian. 

Jangan hanya berbincang hal anak atau bil rumah, tetapi berbincang juga hal yang lebih mendalam supaya hubungan menjadi lebih rapat.

Tunjuk penghargaan walau sekecil mana pun.

Ucapan 'terima kasih', pelukan, hadiah kecil atau pujian boleh membuatkan pasangan rasa dihargai. 

Tindakan sekecil itu boleh membuatkan perasaan sayang tumbuh semula.

Pergi kaunseling untuk rawat luka lama.

Kalau ada perkara yang pernah melukakan hati, jangan pendam seorang diri.

Berjumpa kaunselor boleh membantu buka semula hal yang tertangguh dan sembuhkan perasaan masing-masing.

Selain itu, Fauziah menekankan, cinta bukan sekadar perasaan tetapi satu komitmen yang perlu dijaga setiap hari. 

Kalau kedua-dua pihak sama-sama mahu usaha, hubungan itu masih ada harapan untuk pulih.

Malah, ia boleh jadi lebih kuat dari sebelumnya.

Spark atau rasa itu bukan akan datang sendiri. Kita kena cipta semula dengan perhatian, komunikasi dan kasih sayang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa budaya ‘diam dan sabar’ yang sering dipikul terutama wanita tidak sepatutnya menjadi alasan untuk terus bertahan dalam penderitaan.

“Sabar itu baik, tapi kalau sampai korbankan kesihatan mental, itu bukan lagi sabar tetapi itu memendam derita. Wanita perlu tahu, mereka ada hak untuk hidup tenang. Jangan diam bila hati terluka,” katanya.

Katanya lagi, luka emosi memang tak kelihatan, tetapi kesannya boleh bertahan bertahun-tahun. 

Dan yang lebih menyedihkan, ramai tidak sedar mereka sedang mengalaminya sehinggalah mereka benar-benar hilang diri sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram