Olivia Rodrigo hulur sumbangan kepada Palestin, seru orang ramai tidak tutup mata dengan penderitaan di Gaza


  • Sukses
  • Selasa, 15 Jul 2025

Olivia Rodrigo tampil menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada kanak-kanak Palestin yang terus menjadi mangsa konflik berterusan di Gaza, Palestin.

BINTANG pop antarabangsa, Olivia Rodrigo tampil menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada kanak-kanak Palestin yang terus menjadi mangsa konflik berterusan di Gaza, Palestin.

Menerusi hantaran di Instagram, penyanyi itu memaklumkan bahawa beliau telah menyumbang kepada UNICEF dan menggesa jutaan pengikutnya agar turut sama menyokong misi bantuan kemanusiaan tersebut.

“Saya menderma kepada UNICEF, sebuah organisasi kemanusiaan yang menyediakan bantuan kepada kanak-kanak di Gaza. Saya galakkan anda semua untuk turut sama menyumbang,” katanya.

BACA LAGI: Sunyi hidup sendiri, warga emas berhabis RM 1.1 juta beli barangan 'online', siap sewa pangsapuri hanya untuk simpan timbunan bungkusan

BACA LAGI: 'Benci jadi miskin,' kisah luka anak membesar dihimpit kesusahan, tersisih kasih sayang

Wanita berusia 21 tahun itu turut meluahkan kesedihan yang mendalam terhadap penderitaan yang dialami rakyat Palestin khususnya golongan kanak-kanak yang kehilangan tempat berlindung, makanan, air bersih dan akses kepada rawatan kesihatan asas.

"Tiada kata yang mampu menggambarkan betapa hancurnya hati saya melihat kehancuran yang menimpa rakyat Palestin.

"Ibu, bapa dan anak-anak di Gaza sedang kelaparan, kehausan serta dinafikan akses kepada rawatan perubatan asas dan bantuan kemanusiaan," katanya. 

Menurutnya lagi, tiada seorang pun kanak-kanak sama ada di Israel, Palestin atau mana-mana pelosok dunia yang sepatutnya menanggung derita seperti yang sedang berlaku di Gaza.

Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah serangan berterusan Israel ke atas Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, pada Ahad lepas, sekurang-kurangnya 30 penduduk terbunuh termasuk enam kanak-kanak di sebuah kawasan takungan air sehingga menjadikan jumlah kematian rakyat Palestin melebihi 58,000 orang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amnesty International turut mengklasifikasikan tindakan Israel itu sebagai satu bentuk genosid terhadap rakyat Palestin.

Nama Olivia tidak lagi asing dalam menyuarakan isu-isu kemanusiaan dan keadilan sosial. 

Sebelum ini, penyanyi Drivers License itu lantang bersuara dalam isu hak wanita, khususnya selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan perlindungan undang-undang terhadap pengguguran. 

Dalam persembahan di festival Glastonbury 2022, beliau secara terbuka mengecam lima hakim konservatif yang menyokong keputusan tersebut.

Pada 2023, Olivia menubuhkan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan dikenali sebagai Fund 4 Good, yang menyokong pelbagai inisiatif berkaitan hak wanita dan kesihatan reproduktif di Amerika Syarikat serta negara lain.

Melalui langkah terbaharunya ini, Olivia sekali lagi membuktikan bahawa populariti bukan sekadar untuk hiburan tetapi boleh menjadi suara penting dalam menentang kezaliman dan membela nasib mereka yang tertindas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram