
AMALAN memberi kudapan atau goodies dalam sesebuah majlis di sekolah sememangnya sudah menjadi perkara biasa.
Bagaimanapun, ia mula menjadi perdebatan terutama dalam kalangan ibu bapa dan para pendidik yang bimbang akan kesan jangka panjang terhadap kesihatan serta perkembangan kanak-kanak.
Sebelum ini, tular perkongsian seorang ibu meluahkan kebimbangannya selepas melihat kudapan snek tidak sihat dan air manis yang diterima anaknya di sekolah.
Baginya, kesedaran awal perlu disuntik dalam golongan ibu bapa untuk tidak terbiasa menjadikan snek tersebut sebagai kudapan kanak-kanak.
Mengulas lanjut, seorang guru menerusi hantarannya di akaun Threads @nrainarsly, turut bersetuju dengan kebimbangan ibu bapa terhadap budaya 'jajan' di sekolah.
"Pada pendapat saya sebagai guru, kerisauannya adalah wajar. Bayangkan kalau ada 20 kanak-kanak, 20 sambutan ulang tahun.
"Ini bermakna, 20 set jajan setahun. Belum masuk jamuan hujung tahun, perpisahan dan sebagainya.
"Ada yang kata sekali-sekala tidak mengapa. Tetapi, untuk kanak-kanak, sekali dapat, meltdown akan berlaku terutama bila tidak diberi.
"Saya pernah kerja di prasekolah Cina dan mereka sangat tegas," katanya.
Menurutnya, sebarang makanan ringan seperti kek coklat juga tidak dibenarkan ketika sambutan ulang tahun.
Pilihan yang dibenarkan hanya agar-agar atau kek buah.
Justeru, beliau mencadangkan agar ibu bapa memilih untuk membawa kudapan lebih sihat.
"Kalau nak bagi goodies, mungkin boleh bawa kotak buah, kertas mewarna, teka-teki mini atau pelekat.
"Kurangkan gula, lebihkan keseronokan dan makna," ujarnya.
Rata-rata warga maya lain turut menyokong usaha terbabit demi kesihatan anak-anak.
"Bagi orang lain, setahun sekali sahaja. Mereka tak tengok dari sudut ibu-ibu lain.
"Itu belum campur bila makan dengan datuk, nenek atau saudara.
"Ia bukan sekadar sekali sekala lagi dah, tetapi soal jadi kebiasaan sebab gula putih mana susah nak berhenti kalau dah mulakan dan terbiasa," katanya.
Guru terbabit turut menegaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran yang sihat untuk anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram