
SITUASI dialami oleh pempengaruh masakan terkenal, Che Nom yang difailkan aduan oleh anak saudaranya sebelum ini membuka mata terutamanya kepada para pemilik perniagaan.
Che Nom atau nama sebenarnya Normah Bakar, 43, meluahkan rasa kecewa apabila menerima surat saman daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) hasil aduan difailkan oleh individu yang dibesarkannya sejak kecil.
Aduan tersebut turut mendakwa bahawa Che Nom yang menjalankan perniagaan bersama ahli keluarga tidak menjaga kebajikan anak saudaranya sebagai pekerja.
Mengulas lanjut, seorang peguam tampil menjelaskan perkara tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.
Menerusi video dimuat naik menerusi akaun TikTok @liyanathelawyer, niat Che Nom untuk membantu ahli keluarga bukanlah satu kesalahan.
Meskipun begitu, selaku pemilik perniagaan tidak kira secara kecil-kecilan atau syarikat korporat, ketiadaan dokumen perjanjian rasmi atau 'hitam putih' dalam urusan pekerjaan bersama anak saudara boleh menjejaskan statusnya.
"Sebagai pemilik bisnes, walaupun nak buat baik dengan ahli keluarga, mesti ada perjanjian yang jelas.
"Awak bagi elaun untuk apa? Gaji untuk apa? Orang itu masuk kerja hari-hari atau tidak?.
"Dia tolong skop kerja apa? Kalau awak bayarkan sewa dia berapa? Sewa di mana? Bagi elaun makan untuk apa? Belanja makan pun ada resitnya," katanya.
Bukanlah hendak berkira, namun itulah realiti sebagai majikan untuk sentiasa bertindak secara profesional dalam urusan perniagaan.
Peguam itu turut berkongsi pengalaman anak guamnya yang pernah berdepan dengan situasi serupa apabila staf yang dianggap seperti keluarga sendiri membuat laporan terhadap majikan ke JTK.
Tanpa sebarang dokumentasi yang kukuh, anak guamnya tetap diarahkan untuk membayar denda walaupun mendakwa tidak bersalah.
Justeru, para pemilik perniagaan dinasihatkan agar sentiasa mendokumentasi setiap gerak kerja terutama melibatkan pekerja bagi mengelakkan sebarang persilisihan faham. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram