
SEBUAH kisah melibatkan hubungan ibu dan anak dikongsikan seorang warga maya di media sosial baru-baru ini menyentuh hati ramai.
Cerita dimuat naik di Facebook Viral Johor itu menceritakan tentang sikap anak-anak yang tidak bertanggungjawab selepas menghantar ibunya di rumah kebajikan warga emas.
Kisah itu bermula ketika seorang penceramah bebas mahu menyampaikan bantuan di rumah jagaan terbabit.
BACA LAGI: Mengayuh sambil memasak, cef 'modified' basikal jadi dapur dan restoran unik, pusing 1 Denmark
Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya tidak pernah padam. — Gambar hiasan
Sebaik tiba di perkarangan rumah tersebut, alangkah terkejutnya dia apabila disambut oleh seorang wanita tua sambil melaungkan kegembiraan seolah-olah menyambut kepulangan anak sendiri.
"Dia lari dan cakap 'anak aku datang, anak aku datang, seronoknya anak aku datang'.
"Saya tak kenal, tetapi dia peluk dan cium saya. Dia kata lagi 'nak, kenapa tinggal mak di dini, mak nak balik, mak rindu di rumah'.
"Saya boleh bayang perasan waktu itu dia rindu sangat pada anaknya, saya berlakon jadi anaknya di hadapan dia," katanya.
Wanita yang sudah lanjut usia itu pada masa sama merayu supaya dibawa pulang.
Lelaki tersebut kemudian bertindak menyuapkan roti ke mulut wanita yang berlinangan air mata lalu membawanya pulang untuk dijaga selama beberapa hari.
Sepanjang tempoh itu, wanita tersebut bersolat di belakangnya, memanggilnya 'anak'.
Namun, pada hari ketiga, wanita berkenaan mula berubah.
Ketika ingin bersalaman selepas solat, dia mula melapik tangannya dengan tudung dan memanggilnya 'ustaz'.
"Kalau anak saya, dia tak akan jadi imam saya, tak akan suapkan saya makan," luah wanita itu sambil menangis.
Namun, beberapa hari kemudian, wanita tersebut jatuh sakit dan dikejarkan ke hospital.
Dalam keadaan nazak, dia sempat berpesan agar lelaki tersebut tidak memberitahu anak-anaknya tentang kematiannya, apatah lagi lokasi kuburnya.
Lebih menyedihkan apabila hasil semakan mendapati wanita itu mempunyai lima orang anak.
Sikap anak yang tidak bertanggungjawab akhirnya memakan diri sendiri. — Gambar hiasan
Anak sulungnya pula dikatakan seorang yang bekerjaya dan bergelar Tan Sri.
Kesemua anaknya juga dipercayai tidak datang melawat atau menziarahi ibunya selama tiga tahun.
Selang beberapa minggu selepas kematian wanita itu, anak sulungnya menghubungi lelaki berkenaan dan mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kerana membawa keluar ibunya tanpa kebenaran.
"Akhirnya saya tunggu, tidak ada saman hampir setahun lebih.
"Saya pergi ceramah di Masjid di Gombak, selesai saya ceramah datang seorang lelaki peluk saya.
"Menangis dalam masjid, orang dalam masjid hairan, sebab apa ni, saya tanya pada dia.
"Dia berkata dalam keadaan menangis 'ustaz tolong beritahu di mana kubur mak saya ustaz?
"Saya kata kenapa hari ini baru tanya kubur mak kamu?
"Tolonglah ustaz, saya nak jumpa mak saya ustaz, sayalah orang yang bergelar Tan Sri yang nak saman ustaz hari itu.
"Saya sekarang ni susah ustaz, isteri saya mati kemalangan, rumah banglo, kereta mewah saya semua bank dah tarik, tinggal satu, kereta kancil.
"Saya kata boleh tunjuk kubur mak kamu, tetapi dengan satu syarat, kamu jangan pegang batu nisannya," jelasnya.
Sebaik tiba di tanah perkuburan, belum sempat melangkah jauh, lelaki bergelar Tan Sri itu rebah dan meninggal dunia sebelum sempat menemui pusara ibunya.
Meskipun tidak dapat dipastikan kebenarannya, kisah tersebut ternyata dapat memberi pengajaran buat seluruh masyarakat untuk sentiasa menghargai ibu bapa.
Berbuat baik kepada ibu bapa selagi mereka masih hidup kerana doa dan restu merekalah yang menjadi keberkatan dalam hidup seorang anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram