Kisah pelanggan jadi pemangkin semangat, MyPetani tawar 10 variasi gubahan buah jadi hadiah istimewa buat insan tersayang


  • Bisnes
  • Sabtu, 19 Jul 2025

Kelly mula berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak 2021.

EMPAT tahun lalu, tatkala seluruh rakyat Malaysia buntu dan tidak dapat bergerak bebas angkara pandemik Covid-19, lahirlah sebuah idea kecil memberi sinar harapan kepada Kelly Chung.

Mula dengan menyediakan perkhidmatan menghantar buah-buahan, idea itu akhirnya berkembang menjadi jenama yang kini dikenali ramai, MyPetani.

Bagi pengasasnya, Kelly, idea tersebut muncul apabila melihat keperluan masyarakat ketika itu yang tidak dapat mengunjungi insan tersayang disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

BACA LAGI: Kaviar bukan sekadar hidangan mewah, penantian 15 tahun pasangan Malaysia ternak ikan sturgeon di China akhirnya berbaloi

BACA LAGI: Dari mahkamah ke mesin jahit, bekas pegawai syariah kini pengasas AsyiQmuslim, tawar pakaian riadah multifungsi

Ibu pejabat MyPetani yang terletak di Subang Jaya.

Justeru, Kelly mengambil keputusan untuk mula menawarkan perkhidmatan menghantar bakul buah-buahan di sekitar Subang Jaya, Selangor.

"Waktu awal-awal saya buat dari rumah, bekalan pula dapat dari pembekal berdekatan.

"Kita hantarkan bakul buah sebagai tanda kasih sayang kepada orang tersayang yang tak dapat keluar rumah ketika itu dan sejak itulah perniagaan semakin berkembang sehingga sekarang," katanya kepada Majoriti.

Dari bakul buah sehingga tart eksklusif

Seiring waktu berlalu, produk MyPetani semakin berevolusi daripada sekadar dihias di dalam bakul kepada pelbagai variasi kotak buah-buahan.

Sebanyak 10 jenis produk yang ditawarkan di MyPetani yang bukan sahaja fokus terhadap buah, malah termasuk pastri dan keju.

Bakul buah klasik merupakan produk pertama keluaran MyPetani.

Kata Kelly, setiap variasi mempunyai peminatnya tersendiri seperti bakul buah tradisional dengan hiasan bunga segar lebih sering ditempah untuk majlis-majlis korporat atau buah tangan kepada seseorang.

Manakala, untuk set buah berserta potongan keju dan kotak hadiah kayu pula lebih premium dan sesuai dijamu kepada individu berpangkat tinggi atau VIP.

Baru sebulan dilancarkan, Kelly mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan produk baharunya iaitu tart dan pasti buah istimewa.

"Istimewanya tart buah ini, kami hasilkan sendiri crust tart (kulit tart) menggunakan resipi kami.

"Krimnya juga kami buat tidak terlalu pekat dan manis, sesuai dengan orang yang sedang kurangkan gula atau warga emas," jelasnya.

Kotak buah yang dihias dengan bunga segar dan bahan tambahan lain.

Katanya lagi, kesemua buah yang digunakan dipilih dengan tertib bagi memastikan kualitinya sentiasa terbaik buat pelanggan.

"Kalau ada warna yang mencurigakan pada buah pun kami tak bagi pada pelanggan.

"Kami akan buat mengikut tempahan, jadi tak ada pembaziran buah terlalu banyak setiap hari," ujarnya.

Menurutnya, tempahan boleh mencecah 60 sehari bergantung pada musim.

Musim perayaan dan hari istimewa seperti hari ibu juga boleh meningkatkan tempahan sehingga 200.

Kisah pelanggan pemangkin semangat 

Sebagai jenama yang menjual hadiah berasaskan buah-buahan, banyak kisah pelanggan mereka menjadi pemangkin semangat buat Kelly.

Yasmin (dua dari kanan), Liya (kanan) dan Su (dua dari kiri) antara tonggak utama MyPetani.

"Antara momen paling saya tak boleh lupa adalah ketika ada seorang pelanggan masuk dalam hospital dalam jangka masa lama.

"Dia tempah set platter buah hampir setiap hari untuk beri kepada doktor dan jururawat sebagai tanda terima kasih.

"Ia sangat menyentuh hati dan sebagai balasan, kami hadiahkan platter percuma kepadanya," katanya.

Detik bermakna buatnya juga adalah ketika menerima tempahan besar untuk majlis terbuka Hari Raya oleh Sime Darby yang dihadiri hampir 6,000 orang.

Operasi secara digital

Di sebalik operasi yang berkembang pesat, MyPetani mengambil inisiatif ke hadapan dengan memanfaatkan platform digital.

Semua pesanan dilakukan secara atas talian, penghantaran pula menerusi pemandu peribadi atau pihak ketiga seperti Grab dan Lalamove.

Bakul dan kotak yang dihasilkan oleh pasukan MyPetani.

Kata Ketua Pembangunan Perniagaan dan Perhubungan Pelanggan MyPetani, Yasmin Zainuddin, mereka kini lebih bersedia untuk menghadapi tempahan dalam jumlah besar.

Setiap tempahan juga diteliti dengan terperinci sebelum dilepaskan kepada penghantar ke pelanggan.

"Saya akan pastikan operasi logistik lancar. Kami akan hubungi penerima terlebih dahulu untuk pastikan mereka betul-betul ada di rumah ketika pesanan tiba," jelasnya.

Meskipun produknya yang tiada sebarang bahan campuran lain atau melibatkan pemprosesan makanan, pihaknya tidak menganggap ia sebagai satu alasan untuk mengabaikan pensijilan Halal.

Berpengalaman dalam bidang pemakanan, Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Liya Zafirah Badrulhisam berkata, MyPetani kini memiliki Skim Pensijilan MeSTI dan kini dalam proses membuat permohonan sijil Halal.

"Walaupun kami jual buah, kami nak beri keyakinan sepenuhnya kepada pelanggan sama ada individu atau syarikat besar," ujarnya.

Sementara itu, MyPetani kini memiliki cawangan dan ejen di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Terengganu dan Perlis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram