
SEORANG ibu meluahkan kebimbangannya terhadap tingkah laku pelik anaknya yang berusia empat tahun.
Menerusi hantaran dimuat naiknya di akaun Threads @xo_bella_b, anaknya itu dikatakan ketawa secara tiba-tiba tanpa henti selepas menikmati hidangan di sebuah restoran baru-baru ini.
"Anak saya makan kari di kedai selepas itu dia gelak tak berhenti sedangkan ayah, abang dan kakak tak buat lawak.
"Dia punya ketawa tak berhenti ada sekitar lima minit sebelum tidur dalam kereta.
"Sampai rumah mandi boleh joget, ceria dalam bilik air dan sesudah selesai barin tidur balik.
"Pertama kali tengok perangai dia begitu, pelik memang pelik," tulisnya.
BACA LAGI: Gerak mata, bibir mampu sampaikan mesej jelas, 6 cara untuk faham bahasa tubuh seseorang
BACA LAGI: Rumah ini dulu sempit, serba sederhana, tapi di sini kasih sayang membenih subur — PM Anwar
Kelakukan itu sekali gus menimbulkan persoalan secara tidak langsung mengesyaki kemungkinan makanan yang dimakan anaknya mengandungi bahan yang boleh menyebabkan ketagihan dan khayal seperti biji popi (kas-kas).
Sementara itu, rata-rata warga maya turut mengalami situasi sama terutama selepas menikmati hidangan berempah seperti nasi kandar.
"Ya betul sebab kas-kas, saya pernah kena sekali, beli roti canai kuah kari.
"Semasa makan dah rasa lain, bila balik rumah, pening-pening dan loya," komen @roslina.afnascake.
"Anak saya pun jadi hiperaktif lepas makan nasi kandar, bukan jarang, memang setiap kali makan akan jadi.
"Hiperaktif yang tak larat nak layan, melompat gelak naik atas meja," tambah @amalinacheomar.
Kas-kas merupakan biji-bijian yang berasal dari bunga popi atau nama saintifiknya Papaver somniferum.
Kas kas juga dituai dengan mengeringkan pod atau lenggai bunga popi yang sudah masak ranum.
Ia lazimnya digunakan di benua Amerika Utara dan Eropah sebagai salah satu ramuan pastri seperti mufin dan bagel.
Manakala, di Asia Selatan, kas kas popular sebagai rempah yang dicampur bersama dengan serbuk kari.
Berdasarkan kajian dan analisis juga mendapati kandungan dadah dalam kas kas sangat rendah iaitu antara empat hingga 200 miligram bagi setiap satu kilogram.
Ia bagaimanapun mungkin selamat apabila diambil secara tidak berlebihan.
Namun, sehingga kini tiada sebarang kajian kukuh yang mengatakan kaskas itu bahaya atau memudaratkan kesihatan, malah belum ada larangan penuh penggunaan kas kas dalam pembuatan makanan di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram