
DUNIA fesyen dikejutkan dengan kemunculan rekaan kasut yang dianggap hodoh dan aneh sehingga mencetuskan fenomena global pada penghujung 2018.
Kasut bertapak empat segi besar dan muncung yang kelihatan pelik mula digayakan oleh selebriti dan pempengaruh seluruh dunia.
Ia ternyata hasil ciptaan Nina Christen menerusi koleksi sulung pereka, Daniel Lee untuk jenama kasut mewah, Bottega Veneta.
BACA LAGI: Gerak mata, bibir mampu sampaikan mesej jelas, 6 cara untuk faham bahasa tubuh seseorang
BACA LAGI: Rumah ini dulu sempit, serba sederhana, tapi di sini kasih sayang membenih subur — PM Anwar
Nina Christen antara pereka dengan rekaan kasut unik. — Agensi
Dalam tempoh beberapa bulan selepas itu, sandal Lido dengan rekaan anyaman kulit ikonik pula menjadi rebutan sehingga dinobatkan sebagai kasut paling laris pada 2019.
"Itu yang menariknya tentang fesyen. Kalau kena caranya, benda pelik pun boleh jadi kegilaan," kata Christen.
Sentuhan unik Christen secara tidak langsung menjadi antara reka bentuk kasut paling berpengaruh.
Pereka kasut kelahiran Switzerland itu juga kini menempah nama besar dalam dunia rekaan kasut mewah.
Tidak lagi asing dalam industri fesyen, beliau juga pernah memainkan peranan penting untuk nama-nama gah seperti Phoebe Philo di Celine, Jonathan Anderson di Loewe, The Row milik Mary Kate dan Ashley Olsen, serta Lee di Bottega Veneta.
Pada Jun lalu, Christen dilantik sebagai Pengarah Kreatif Kasut Christian Dior.
Rekaan kasut yang dianggap 'hodoh' pada mulanya mula mencipta fenomena global. — Agensi
Christen mengakui bahawa dirinya obses terhadap fesyen sejak kecil meskipun tidak mempunyai sebab yang jelas.
Peluangnya muncul selepas bertemu dengan Paul Dupuy, seorang usahawan dan pengasas Zoi, sebuah syarikat teknologi kesihatan.
Christen juga bertanggungjawab untuk mereka bentuk pakaian seragam untuk kakitangan dan pelanggan Zoi dan amat dikagumi Dupuy.
Selain kasut, beliau juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan sepasang seluar denim Jepun, jaket kulit, malah barang perhiasan rekaannya.
Kasut Christen dihasilkan di Itali oleh kilang dan pakar sama yang bekerja dengan jenama mewah besar.
Harga produknya juga dijual RM4,668 hingga RM15,485 (AS$1,100 hingga AS$3,650).
Ia mencerminkan standard pengeluaran dan cita-cita Christen yang tidak berkompromi untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Antara ciptaan terbaharu beliau termasuk sandal putih dengan rekaan ringkas tetapi penuh seni geometri yang ‘memisahkan’ jari kaki besar dengan hanya sehelai jalur kulit halus.
"Saya suka ruang dan bentuk geometri.
"Apabila saya memikirkan bentuk jari kaki, sebagai contoh,adakah ia segi empat sama? Segi empat tepat? Bulat? Bujur?" katanya.
Pereka berusia 40 tahun itu juga berkata, antara rekaan dipakainya adalah sandal putih yang mendedahkan kakinya dengan belahan jalur kulit seperti sutas benang sebagai pemisah ibu jari kaki.
Tapaknya juga nipis dan sedikit memanjang di bawah jari kaki, seolah-olah memakai tapak dalam yang bersaiz terlalu besar.
"Ini tentang mencipta perkara yang kita belum biasa.
"Apabila saya membuat sesuatu dan saya tidak tahu sama ada saya menyukainya, itu sentiasa petanda yang baik," ujarnya.
Antara rekaan kasut Christen yang menjadi kegemaran wanita seluruh dunia. — Agensi
Graduan Ijazah Sarjana di Institusi Francais De La Mode di Paris, Perancis dalam bidang fesyen, Christen belajar tentang pelbagai reka bentuk kasut.
Ilmunya kemudian dimanfaatkan secara meluas apabila bekerja untuk Phoebe Philo di Celine pada 2017.
Sejak itu, beliau mula bekerjasama dengan pereka fesyen terkenal lain dan mengolahnya semula mengikut cita rasa uniknya.
"Setiap hari saya lihat orang biasa memakai sesuatu sangat menarik yang tidak ada kaitan langsung dengan fesyen.
"Kasut ortopedik untuk warga emas menjadi sumber yang baik," katanya.
Antara rekaan kasut popular yang dihasilkannya adalah kasut 'slip-on' gaya warga emas yang dihiasi dengan bulu-bulu gebu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram