
DALAM kesibukan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan urusan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lupa meluangkan masa bersama keluarga.
Menerusi hantaran dimuat naik di laman Instagram baru-baru ini, beliau sempat berkongsi beberapa foto bersama adik-beradiknya ketika menziarahi mereka di rumah lamanya yang terletak di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Menurutnya, rumah tersebut pernah menjadi 'dunia' buatnya ketika masih kecil.
BACA LAGI: Pernah menuntut di maahad tahfiz, Aria pemain e-sport MLBB wanita pertama mara ke EWC 2025
Meskipun kecil dan sederhana, Anwar menganggap bahawa ia bukan sekadar struktu binaan semata-mata.
"Ini tempat pertama saya berlari tanpa rasa takut, ketawa tanpa beban dan mimpi yang tidak berpenghujung.
"Rumah ini dulu sempit dan serba sederhana, tetapi, di sini kasih sayang membenih subur.
"Di sini juga saya dan adik-beradik belajar erti kehidupan, dari tawa girang, tangisan, hingga ke jerih perih ibu bapa yang saban hari mencurah keringat demi masa depan kami sekeluarga.
"Setiap sudut menyimpan seribu cerita, lantainya saksi pada langkah-langkah kecil yang kini melonjak saya sejauh ini," tulisnya.
Anwar pada masa sama berkongsi momen penuh emosi apabila dapat memeluk erat dua saudara kandungnya, Idrus Ibrahim dan Marzuki Ibrahim yang turut membesar bersamanya di rumah berkenaan.
"Ada rindu yang terubat, kenangan kembali mekar dan terpaculnya kesedaran betapa jauhnya perjalanan ini bermula dari kasih tercurahkan dari rumah yang serba sederhana ini," katanya.
Baginya, walau sejauh mana langkahnya meniti pentas dunia, akar dan asal-usulnya tetap teguh di Cherok Tok Kun.
"Ini asal saya dan setiap kali kembali, hati ini berterusan diingatkan bahawa semua yang saya damba dan perjuangkan hari ini bermula dari rumah ini, keluarga ini, cinta kudus yang tidak pernah terpadamkan," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram