
IBU bapa disarankan untuk sentiasa memantau pergaulan anak terutama apabila mereka menginjak dewasa dan bersosial bersama rakan-rakan.
Ia bagi memastikan anak tidak mudah terikut atau terpengaruh dengan budaya negatif seperti menggunakan kata-kata kesat.
Situasi itu juga dihadapi oleh seorang ibu menerusi akaun Threads @hasanah_nassan baru-baru ini.
Lebih mengejutkannya apabila menemui sekeping kertas mainan dengan kata-kata kesat dan kotor di dalam beg sekolah anak lelakinya yang baru berusia lapan tahun (darjah dua).
"Anak cakap kawan dia tulis. Mungkin ada yang rasa ini perkara biasa, tetapi bagi saya tidak.
"Di rumah memang saya tak cakap langsung kata-kata kotor. Pergi sekolah ingatkan selamat, rupanya tidak.
"Ini baru darjah dua, semoga ALLAH lindungi anak-anak kita semua daripada bercakap kotor," luahnya.
Wanita itu turut memaklumkan bahawa guru kelas anaknya mengesahkan perkara itu bukanlah sesuatu yang asing, malah sering berlaku dalam kalangan murid-murid di sekolah tersebut.
Bertindak segera, si ibu mengambil inisiatif untuk menghubungi guru kelas untuk memaklumkan insiden berkenaan.
Dia pada masa sama memohon agar anaknya diberikan tugasan berasingan sekiranya dilihat terlalu rapat dengan pelajar yang menulis kata-kata kesat itu.
"Saya terus mesej guru kelas dan minta tolong. Kalau cikgu nampak anak saya main beria dengan budak yang tulis itu, saya minta cikgu bagi tugasan lain dekat anak saya supaya dia sibuk," katanya.
Mengaku berang dengan perkara tersebut, namun tidak bermakna dia boleh bertindak kasar terhadap anaknya.
"Saya tak lempang anak saya. Kalau dia buat salah baru saya rotan.
"Tetapi, kali ini bukan salah dia. Dia budak lagi, belum tahu cara pilih kawan yang baik.
"Jadi, saya cuma nasihat dan bertegas supaya dia tak berani berkawan lagi dengan budak yang suka cakap kata-kata kotor," jelasnya.
Justeru, ibu bapa disarankan agar sentiasa memantau aktiviti anak termasuk rakan sebaya mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram