PENGURUSAN Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur pada Selasa, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wujudnya kegiatan pemerdagangan bayi di rumah perlindungan terbabit.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, pengurusan Rumah Bonda berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan pihak berkuasa demi menangkis dakwaan itu.
Katanya, Rumah Bonda yang dibuka pada awal 2019 memberi tempat perlindungan kepada remaja dan wanita hamil tanpa nikah; remaja dan wanita teraniaya; remaja dan wanita yang terbabit dengan gejala sosial; memberi tempat perlindungan sementara kepada bayi yang dilahirkan di luar nikah dan tidak diterima keluarga; serta menjaga bayi dan kanak-kanak yang sedang menjalani kes-kes mahkamah buat sementara waktu.
"Sejak penubuhannya, rumah perlindungan Rumah Bonda menempatkan keseluruhan seramai 62 orang remaja dan wanita hamil serta wanita teraniaya dan seramai 50 orang bayi dibantu untuk dilahirkan di hospital secara selamat.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Perintah Mahkamah Kanak-Kanak juga ada menghantar kanak-kanak yang tiada waris dan remaja hamil luar nikah yang memerlukan perlindungan ke rumah perlindungan Rumah Bonda.
"Ibu-ibu dan bayi masing-masing kemudiannya akan tinggal di rumah perlindungan Rumah Bonda sepanjang tempoh berpantang. Segala kos adalah ditanggung sepenuhnya oleh rumah perlindungan Rumah Bonda tanpa mana-mana penyumbang tetap dan hanya bergantung kepada dana persendirian, dana awam dan sumbangan sukarelawan," katanya.
Rumah Bonda mendakwa, pihaknya tidak menguruskan sebarang proses anak angkat, sebaliknya jika penghuni tidak bersedia menjaga bayi selepas dilahirkan dan berhasrat menyerahkan bayi untuk pengangkatan, penghuni dan keluarga sendiri, perlu menguruskan proses pengangkatan bersama keluarga angkat.
"Untuk mendapatkan perlindungan dan sokongan di rumah perlindungan Rumah Bonda, mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan antaranya mengemukakan identiti dan rekod peribadi yang disahkan untuk memohon mendaftar masuk serta membuat laporan polis menyatakan kesediaan mendaftar masuk dengan sukarela dan tanpa paksaan, kecuali kes-kes rujukan daripada hospital atau JKM.
"Mereka juga perlu memaklumkan status keberadaan di rumah perlindungan Rumah Bonda kepada sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga dan waris terdekat serta mematuhi semua temujanji pemeriksaan antenatal serta hendaklah melahirkan bayi dengan selamat di hospital.
"Bila bayi dilahirkan dan selepas tamat tempoh berpantang, penghuni diwajibkan mengisi borang keluar bagi menyatakan kesediaan ingin keluar daripada rumah perlindungan Rumah Bonda," katanya.
Rumah Bonda berkata, mereka berpegang kepada prinsip bahawa kesilapan silam seseorang adalah aib yang perlu disimpan dan ditutup dengan rapi.
"Bagaimanapun Rumah Bonda mendapati bahawa maklumat sulit ini didedah dan disebarkan secara tidak bertanggungjawab dan berniat jahat oleh individu-individu tertentu di media sosial.
"Kita tidak mengizinkan rekod-rekod sulit bekas penghuni disalahgunakan dan disebarkan sedemikian rupa dan memandang serius percubaan pihak-pihak tertentu termasuk membuat laporan polis palsu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram