Landasan troli berusia 130 tahun bakal jadi tarikan baharu Pulau Pinang


  • Massa
  • Khamis, 10 Jul 2025

pekerja binaan membersihkan sebahagian laluan landasan yang ditemukan di Padang Kota Lama. — LIM BENG TATT/The Star

LANDASAN troli sepanjang 7.4 meter yang dianggarkan berusia 130 tahun akan menjadi tarikan baharu di Pulau Penang selepas artifak bersejarah itu ditemukan baru-baru ini.

Bahan bersejarah itu ditemukan pada 26 Jun lalu ketika projek naik taraf laluan pejalan kaki dilakukan di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, dekat Fort Cornwallis.

Ini bukan kali pertama laluan landasan itu ditemukan selepas laluan yang sama dikesan antara 2017 dan 2018 di lokasi yang berdekatan.

BACA LAGI: Tak sanggup tengok anak derita ekzema, Krept ubah naratif penyanyi rap, tampil sebagai usahawan produk bayi 

BACA LAGI: Cipta minuman berkarbonat dari rumah, ibu 3 anak catat jualan hampir 2 bilion tin dalam 18 bulan

Dengan penemuan terbaharu itu, pihak kerajaan berupaya membina semula landasan pengangkutan ringan yang pernah digunakan sebagai laluan penghantaran bekalan tentera.

Peta tentera yang dilakar dan gambar yang pernah diambil pada 1945 menunjukkan laluan landasan melintasi padang Esplanade (juga dikenali Padang Kota Lama), menghubungkan berek Esplanade dan depoh simpanan berdekatan kemudahan pelabuhan di sepanjang persisiran pantai.

Semasa penjajahan Jepun pada 1941 hingga 1945, landasan itu kerap digunakan semasa perang untuk mengangkut peluru, makanan dan minyak dari kapal ke pusat simpanan tentera.

Mengulas lanjut tentang penemuan itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, orang awam berpeluang untuk melihat bahan sejarah itu dengan keadaan asalnya termasuk cop 'Barrow Steel' dari United Kingdom pada besi tersebut.

 

Katanya, landasan bertarikhkan 1895 itu akan dipulihara dan dijadikan pusat pameran terbuka kepada umum.

"Inisiatif ini sama dilakukan seperti di bandar Guangzhou, China apabila laluan bersejarah ditemukan ketika kerja-kerja baik pulih jalan dilakukan dan mereka menjaganya untuk tatapan umum.

"Mereka memasang panel kaca tebal di lokasi tersebut, membolehkan orang ramai melihat struktur asal sambil melindunginya," katanya ketika melawat tapak penemuan itu pada Rabu.

Turut hadir, wakil daripada Jabatan Warisan Negara, kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan dan Pemuliharaan George Town.

Chow berkata, usaha pemuliharan akan dilakukan oleh Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama kerajaan negeri.

"Kami terbuka kepada sebarang usul atau cadangan, terutmanya jika jabatan tersebut sedia menaja kerja-kerja pemulihan.

"Walaupun landasan ini ditemukan di Pulau Pinang, ia merupakan sebahagian sejarah Malaysia dan perlu dilindungi secara bersama," katanya. — The Star

 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram