Nafi diarah bayar RM8.3 juta, dakwaan cuai kelahiran bayi pra matang kejadian 22 tahun lalu — HIAZ


  • Bonda
  • Isnin, 14 Jul 2025

Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ) tegas menafikan dakwaan perlu membayar saman bernilai RM8.3 juta.

DIDAKWA cuai dalam perubatan dan kelahiran bayi, Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ), Bandar Baru Bangi, Selangor menafikan laporan  bahawa pihaknya perlu melunaskan hutang RM8.3 juta terhadap pesakitnya yang merupakan suami isteri.

Jelasnya, laporan kes berkenaan merupakan kejadian pada 2003 dan membabitkan kelahiran bayi pramatang yang dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

BACA LAGI: Atikah Suhaime ajar suami bersederhana, pakai semula baju lama, tidak perlu kisah jenama

BACA LAGI: Isteri ambil perhatian! Suami kerap sakit belakang antara tanda-tanda kanser prostat — Pakar

"Berdasarkan rekod, ibu terbabit bersalin anak beliau pada 14 Jun 2002 manakala, kejadian bagi kelahiran ini adalah pada 26 Februari 2003, iaitu dua kelahiran dalam tempoh sembilan bulan.  

"Ibu kepada bayi datang ke HIAZ dengan keadaan bayi pra matang pada minggu ke-26 (sekitar enam bulan setengah) usia bayi. Pakar yang menemui ibu bayi telah melakukan rawatan profesional yang diperlukan.

"Walau bagaimanapun, atas pertimbangan yang sewajarnya pada waktu itu, pakar terbabit merujuk ibu bayi ke Hospital Putrajaya dan dilahirkan di Hospital Putrajaya justeru, ingin dijelaskan bahawa bayi terbabit tidak dilahirkan di HIAZ," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

HIAZ dalam masa sama tegas menyatakan bahawa isu hutang berkenaan langsung tiada kaitan dengan operasi harian hospital sekarang kerana ia di bawah pengurusan syarikat lama.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai satu bentuk salah lapor yang menjejaskan reputasi HIAZ, pihaknya akan mengambil tindakan membantah proses penyitaan ekoran terdapat kekhilafan dalam proses tersebut.

"Kini, HIAZ diuruskan oleh pengurusan baharu yang segar, komited, serta berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,"

"Pihak HIAZ memandang serius tindakan akhbar terbabit yang menyiarkan gambar suatu kawasan yang sudah ditutup dengan pita keselamatan sedangkan gambar terbabit bukan penutupan hospital.

"Ini merupakan berita yang salah dan memberikan tanggapan buruk kepada pembaca dan kami difahamkan oleh pihak pengurusan lama sudah membayar sejumlah wang yang signifikan bagi penghakiman tersbeut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram