Atikah Suhaime ajar suami bersederhana, pakai semula baju lama, tidak perlu kisah jenama


  • Bonda
  • Sabtu, 12 Jul 2025

Atikah dah suami dikurniakan seorang cahaya mata perempuan dinamakan Lyla Mulan Teh.

DIBESARKAN dalam keluarga serba sederhana, pelakon popular Atikah Suhaime  selesa mengekalkan cara tersebut walaupun bergelar isteri kepada usahawan tersohor tempatan.

Kurang gemar barangan berjenama dan mewah, bintang filem Banglasia (2019) kelahiran Singapura itu masih mengekalkan prinsip hidupnya yang suka mengitar semula perkakas ataupun pakaian lama terpakai di rumahnya.

Akui hal itu pada mulanya sukar diterima suaminya, ia bagaimanapun mula mendapat sokongan selepas amalan tersebut turut dilakukan bersama sejak mendirikan rumah tangga pada tahun lalu.

BACA LAGI: Kehidupan lebih diberkati, mulakan hari dengan ALLAH berbanding media sosial

BACA LAGI: Isteri ambil perhatian! Suami kerap sakit belakang antara tanda-tanda kanser prostat — Pakar

“Ramai cakap Atikah humble tapi sebenarnya biasa je sebab dibesarkan dalam cara sederhana, suami saya yang banyak ajar pakai pakaian berjenama dan mahal-mahal tapi saya tak suka sangat.

“Suami saya memang dia pakai yang berjenama sahaja dan Atikah pula dah terbiasa buang barang, kitar semula barang lama yang terpakai, setiap tahun mesti buat macam tu kalau tak terkumpul je tak guna.

“Sejak itu, suami saya pun dah terikut sama dia sendiri ikut cara saya, banyak beli online jadi boleh pakai buang, ganti baru sebab tak rasa sayang dan membazir beli mahal-mahal sebab itu semua cuma barang je bukan penting,” katanya kepada Majoriti pada sidang media pelancaran siri animasi My Stupid Boss di hotel Crystal Crown, Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat.

Menjadi inspirasi serta contoh ikutan ibu-ibu muda di luar sana, sifat merendah diri dipamerkan Atikah dalam membesarkan anaknya turut dipuji ramai.

Gemar memasak dan menjaga anaknya, Lyla Mulan Teh sendiri tanpa bantuan daripada pengasuh atau mana-mana pihak, Atikah sentiasa mencuba yang terbaik demi keselamatan cahaya matanya.

Malah, ada berpendapat pelakon tersebut sama sekali tidak terikut-ikut dengan gaya hidup mewah seperti artis-artis lain yang lebih gemar bermegah-megah dengan kekayaan dimiliki.

“Anak saya memang suka dibesarkan cara macam tu, dia yang tak nak bagi saya glamor, suka dikendong selalu ke mana sahaja.

“Semestinya saya mahukan yang terbaik untuk dia, suami belikan kelengkapan macam-macam semua yang berjenama dan mahal tapi Mulan memang nak kain kendong.

“Kenapa Mulan, boleh tak bagi mummy glamor sekali sekala, sebab tu saya jarang keluar mana-mana majlis kalau dengan anak sebab nanti dia minta dikendong,” tambahnya. 

Terdahulu, Atikah Suhaime sah bergelar isteri kepada usahawan dan Ketua Pegawai Eksekutif Zaitun Industries, Datuk Lokman Teh, dalam sebuah majlis pernikahan tertutup yang berlangsung pada 21 Januari 2024. 

Majlis yang diadakan di Kuala Lumpur itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat pasangan tersebut.

Menurutnya, hubungan mereka bermula sebagai kawan sebelum masing-masing lebih serius dan mengikat tali pertunangan pada Disember 2023 sebelum mengambil keputusan untuk disatukan secara rasmi sebagai suami isteri sebulan kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram