[VIDEO] Bakat seni daun anak Kedah pikat hati orang Brunei, Singapura


  • Bisnes
  • Ahad, 13 Jul 2025

Setiap lakaran dan ukiran pada daun dilakukan dengan teliti demi mendapatkan hasil yang sempurna. — Facebook/Hafizi

SIAPA sangka daripada cebisan daun boleh memghasilkan satu seni unik dan bermakna buat seseorang.

Bagi Muhammad Hafizi Abdul Karim, 34, kepingan daun menjadi pengganti kanvas yang mampu menghidupkan semula potret insan tercinta.

Anak kelahiran Kulim, Kedah itu bukan calang-calang bakatnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Mudah, jimat masa, 'pager' inovasi baharu lancarkan sesi bergambar keluarga pada majlis kahwin

BACA LAGI: Dapur sempit jadi luas, ini 4 warna tak sakit mata, nampak lebih mewah

Minat mendalam Muhammad Hafizi terhadap seni lukis dikembangkan menjadi sumber pendapatan. — Facebook/Hafizi

Meskipun tanpa pendidikan formal, Hafizi kini antara pencetus kepada seni ukiran daun yang mungkin jarang sekali ditemui dalam pasaran tempatan.

Katanya, minatnya terhadap seni lukis juga mendorongnya untuk menjalankan perniagaan ukiran daun di Kedah.

"Saya memang suka melukis watak animasi, potret sejak sekolah lagi.

"Tetapi, saya tak sambung belajar. Lepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) terus buat macam-macam kerja termasuk berniaga kecil-kecilan.

"Saya mula berniaga ukiran daun ini pada 2021 waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya kepada Majoriti.

Kata Muhammad Hafizi, idea tersebut muncul selepas isterinya menunjukkan beberapa video memaparkan potret pada daun yang dihasilkan penjual di luar negara.

Muhammad Hafizi memulakan perniagaannya sejak 2021. — Facebook/Hafizi

Pada awalnya, niat Muhammad Hafizi hanya sekadar mahu mencuba nasib.

"Saya cuba lukis potret orang atas daun nangka buat pertama kalinya.

"Mula-mula memang tak cantik, tetapi tetap teruskan cuba dan segalanya berubah lepas saya muat naik satu ukiran daun bertema ‘Free Gaza’ di Facebook.

"Tak sangka, kira-kira sejam ramai orang kongsi dan tular di semua platform media sosial," katanya sambil menambah bahawa menerima banyak tempahan sejak daripada itu.

Selain potret, Muhammad Hafizi juga menerima tempahan lakaran bangunan dan lain-lain.

Katanya lagi, mengukir di atas permukaan yang rapuh tidak semudah disangka.

"Nak ukir atas daun ini perlu lebih teliti kalau nak dibandingkan guna kanvas biasa.

"Daun ini pula perlu diawet untuk bagi tahan lama menggunakan resin. 

"Kita kena potong ikut urat daun terutama bila nak lukis potret, mata, hidung dan mulut perlu betul-betul tepat," jelasnya.

Disebabkan itu, lukisan daun itu dijual dengan harga dikenakan lebih tinggi.

Walaupun ramai menyangka kos bahan seperti daun tidak mahal seperti alat lukisan lain, realitinya seni tersebut melibatkan proses yang memakan kos dan masa.

Lukisan daun diawet sebelum dihantar. — Facebook/Hafizi

"Modal untuk satu set termasuk bingkai boleh cecah RM30.

"Harga jual pula adalah RM75 dan RM98 termasuk bingkai dan kotak satu ukiran, sudah dikira dengan kos penghantaran.

"Kalau ada banyak tempahan, boleh cecah 20 ukiran sehari," katanya sambil menambah jumlah jualan bergantung pada kekerapannya mempromosikan produknya di media sosial.

Menurutnya, pelanggan juga biasanya menempah ukiran wajah mereka sendiri, ahli keluarga atau pasangan tersayang.

Ada juga permintaan luar biasa seperti ukiran haiwan, corak abstrak dan simbolik.

Seninya juga menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Brunei.

Sepanjang lebih empat tahun berkecimpung dalam dunia seni itu, sambutan pelanggan dapat dilihat sangat menggalakkan kerana ia bukan sahaja unik, tetapi menyimpan nilai sentimental dan estetik yang tinggi.

Lukisan bangunan pada daun. — Facebook/Hafizi

"Orang tertarik sebab ini sesuatu yang tak pernah mereka lihat.

"Mereka teruja bila wajah sendiri diukir atas daun," ujarnya.

Ditanya pula tentang perancangan masa hadapan, Muhammad Hafizi kini masih fokus untuk menjalankan perniagaan dari rumah.

Dia bagaimanapun memasang impian untuk menyertai lebih banyak pameran seni di sekitar Kuala Lumpur.

"Kalau ada peluang, saya teringin juga buka pameran secara fizikal di balai-balai seni terutama di Kuala Lumpur," ucapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram