
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan ulang tahun kelahiran ke-100 buat Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi hantaran di laman media sosial peribadi beliau.
Menerusi kenyataan tersebut, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan harapan agar bekas Perdana Menteri Ke-4 dan Ke-7 itu dikurniakan kekuatan tubuh dan ketenangan jiwa dalam menjalani kehidupan.
"Selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-100 kepada Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Saya dan Azizah mendoakan setulusnya agar Tun terus dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa, dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna.
BACA LAGI: Ketetapan gugur rayuan terhadap keputusan ICJ berdasarkan nasihat pakar — Dr Mahathir
BACA LAGI: PMO nafi arah SPRM siasat Tun Mahathir, Tun Daim
"Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan yang tinggi," kongsi Anwar.
Beliau turut mendoakan agar Allah terus merahmati Tun Mahathir, yang pernah menerajui negara selama lebih dua dekad dalam dua era pemerintahan berbeza.
Tun Mahathir merupakan tokoh politik paling berpengaruh dalam sejarah moden negara dengan menjadi satu-satunya Perdana Menteri yang memegang jawatan itu sebanyak dua kali.
Ucapan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-rata mengucapkan tahniah dan menzahirkan rasa hormat terhadap sumbangan Tun Mahathir kepada pembangunan negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram