
SIAPA sangka hubungan yang dahulunya tidak ubah seperti anjing dan kucing boleh berubah dalam sekelip mata.
Itulah situasi sedang dihadapi oleh seorang seorang wanita dan abangnya baru-baru ini.
Kisahnya yang dikongsikan menerusi akaun Thread @nrhafezah juga menarik perhatian ramai apabila dia menceritakan perubahan ketara sikap abangnya selepas pemergian ibu tercinta.
Baginya, kehilangan ibu menjadi titik perubahan besar dalam hubungan adik-beradik itu.
"Ini abang aku, beza umur kami setahun. Dahulu selalu bergaduh bukan biasa-biasa tetapi sampai tahap bertumbuk.
"Tetapi, bila dah besar terutama lepas arwah mak dah tiada, dia jadi berubah.
"Dia jadi abang yang penyayang, mungkin trauma dengan kehilangan," tulisnya.
Katanya lagi, abangnya juga kerap mengajaknya untuk makan bersama setiap hujung minggu, berbelanja barang keperluan harian serta wang belanja untuknya.
"Kalau beras habis, dia akan beli. Sekali beli 25 kilogram (kg). Ayam ambil percuma sebab dia jual ayam.
"Kalau tak ada duit, dia bagi," kongsinya.
Bukan itu sahaja, perubahan sikap abangnya juga jelas terlihat ketika hari pemergian arwah ibunya.
Menurutnya, ia merupakan detik terindah dan sedikit janggal kerana pertama kali merasa pelukan seorang abang.
"Kali pertama dia peluk saya masa arwah mak meninggal. Dia peluk dan tenangkan saya walaupun masa tu giliran dia jaga arwah di hospital.
"Kali kedua pula ketika hari raya puasa baru-baru ini. Dia peluk dan cium pipi saya.
"Saya terus menangis. Dia tak pernah begitu sebelum ini," luahnya penuh emosi.
Perkongsian menyentuh hati itu sekali gus menjadi peringatan betapa pentingnya nilai kasih sayang dan ikatan dalam sesebuah keluarga dalam apa jua keadaan.
Meskipun kehilangan tonggak utama keluarga, ikatan antara adik-beradik harus terus dipelihara dan diperkuatkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram