
WAJAH anak berusia 11 tahun ini tersenyum saat tiba di pekarangan pejabat pentadbiran Gabenor Riau.
Suasana pagi begitu meriah dengan sapaan mesra diterima tetamu yang diraikan iaitu Ryyan Arkan Dikha.
Disapa dengan panggilan Dika, anak ini tular apabila tarian Pacu Jalur yang dipersembahkan tular di media sosial hingga menjadi trend di aplikasi TikTok dengan ramai pengguna termasuk warga maya di Eropah cuba melakukannya.
BACA LAGI: [VIDEO] Langgar lampu isyarat ketika raptai di Singapura, kereta kebal alami masalah teknikal — Kementerian Pertahanan
Lebih menarik apabila akaun milik kelab besar di Eropah seperti Paris Saint Germain (PSG) memuat naik video dengan menggunakan trend tersebut.
Popularnya anak ini membawa dia bertentang mata dengan Gabenor Riau, Abdul Wahid sekali gus menerima penghargaan yang tidak disangka-sangka apabila dinobat sebagai Duta Pelancongan Riau.
"Tidak sangka dapat bertemu Gabenor dan dinobat sebagai Duta Pelancongan Riau," kata Dika yang begitu bangga dengan pengumuman itu.
Halaman Kantor Gubernur Riau, Selasa (8/7/2025) pagi berubah jadi meriah.
Usai kegiatan apel, Gubernur Riau Abdul Wahid bersama seorang bocah viral asal Kuantan Singingi, Rayyan Arkan Dikha mempersembahkan tarian Pacu Jalur di hadapan seluruh pegawai.#infoPKU pic.twitter.com/Fb8QY0izNS
— Info Pekanbaru (@infoPKU) July 8, 2025
Ternyata video berdurasi kurang seminit yang memaparkan seorang budak lelaki yang dengan tenang dan penuh gaya berdiri di hujung perahu pacu memberi kesan hingga mengubah nasib dirinya.
Dika adalah tukang tari yang berperanan bukan sebagai pendayung tetapi menghiburkan dan memberi motivasi kepada pasukan semasa perlumbaan.
Pacu Jalur ialah lumba perahu tradisional yang berasal dari Kuantan Singingi, Riau, Indonesia.
"Sudah dua tahun saya menjadi tukang tari Pacu Jalur, sejak usia sembilan tahun," katanya.
Katanya, cabaran menari di perahu adalah perlu mengimbangi badan bagi Dika mahu terus melakukan yang terbaik untuk pasukannya.
"Saya mahu jadi tentera, kalau boleh mahu jadi Gabenor juga," katanya sambil ketawa.
Sementara itu, Abdul Wahid berkata, tarian Dika yang menjadi ikutan ramai menjadi kebanggaan Riau kerana ia memberi inspirasi untuk generasi muda mencintai budaya tempatan dan dengan itu wajar mendapat penghargaan pihak kerajaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram