Fouziah Gous, Rebecca antara selebriti wanita rebut keberkatan 10 malam terakhir Ramadan di Makkah


  • Relaks
  • Sabtu, 22 Mac 2025

Fouziah (kanan) dan Rebecca berpeluang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci dalam 10 hari terakhir Ramadan. — Instagram/fouziahgous dan rebeccanuralislamahmad

MEMASUKI fasa terakhir Ramadan, pastinya seluruh umat Islam berkejar-kejar merebut peluang untuk memperbanyakkan amalan ibadah dan kebajikan.

Dengan keberkatan 10 malam terakhir yang dijanjikan ganjaran besar, ramai berlumba-lumba untuk mencari pahala dan keberkatannya.

Dalam usaha meraih ganjaran berlipat ganda sempena Ramadan, beberapa selebriti tanah air turut berpeluang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.

Keberangkatan mereka ke Makkah dan Madinah menjadi satu kesempatan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dalam bulan penuh keberkatan ini.

Di media sosial, beberapa selebriti sempat berkongsi pengalaman menunaikan ibadah umrah, termasuk detik menyentuh hati ada yang berjaya menamatkan bacaan al-Quran di sana, selain merasai keindahan suasana Ramadan.

Berikut Majoriti kongsikan antara tiga personaliti wanita dikurniakan rezeki menunaikan umrah semasa Ramadan:

1) Fouziah Ghous

Fouziah berjaya khatam al-Quran pada malam ke-22 Ramadan.  Instagram/fouziahgous

Pelakon dan pengacara, Datin Fouziah Gous tidak dapat menggambarkan rasa terharu apabila diizinkan untuk khatam al-Quran di Makkah pada Jumaat.

Ujarnya, beliau sama sekali tidak menyangka dirinya berupaya untuk mengunjungi Makkah pada tahun ini disebabkan keadaan kesihatan ibu yang tidak mengizinkan.

"Hari ini malam ke-22 Ramadan di Makkah, tanpa dirancang saya berjaya khatam al-Quran.

"Tak sangka langsung saya akan sampai ke Makkah tahun ini akhir Ramadan kerana ibu baru lepas menjalani pembedahan kaki dan banyak komitmen lain. Memang dari awal hanya niat nak khatam apabila sampai waktu," tulisnya menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Lebih membuat ahli perniagaan itu tersentuh, tarikh tersebut adalah tarikh pemergian ayahanda tercinta, selain turut membaca al-Quran yang dituliskan nama arwah bapanya.

"Awal-awal dulu, saya memang terfikir tahun ini mungkin tak sempat dapat khatam al-Quran di Makkah, tapi ALLAH SWT izinkan juga.

"Rasa syukur sangat, tak tahu nak ungkap dengan kata-kata. Saya cuma nak simpan momen ini sebagai satu kenangan, tanda kasih sayang ALLAH dalam hidup saya," jelasnya.

2) Rebecca Al Islam

Rebecca turut aktif berkongsi momen dirinya ketika mengerjakan ibadah di  Tanah Suci. — Instagram/rebeccanuralislamahmad

Pelakon, Datin Rebecca Nur Al Islam juga kini berada di Makkah mengerjakan umrah bersama suami, Datuk Norazam Sulaiman.

Aktres dan hos yang mula mengenakan hijab sejak 2014 itu bertolak ke Tanah Suci pada Rabu lalu.

Beliau turut aktif berkongsi momen dirinya ketika mengerjakan ibadah di sana menerusi Instagram termasuk makan malam di hotel sempena meraikan ulang tahun kelahiran suami.

3) Datuk Nurulhidayah

Nurulhidayah bersama suaminya dijemput sebagai tetamu ALLAH SWT pada 10 malam terakhir Ramadan.  Instagram/nurul.zahid

Anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah juga berpeluang dijemput sebagai tetamu ALLAH SWT untuk menunaikan umrah bersama keluarganya.

Beliau bersama suami, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff dan ibu saudara, Samahah Hamidi berangkat ke Jeddah pada Khamis.

Beliau sempat berkongsi perkembangan dan antara ujian yang dihadapinya di sana.

"Memang 10 malam terakhir Ramadan sungguh-sungguh hidup dan meriah di Makkah," tulisnya.

Dalam perkembangan berlainan selepas melalui tempoh pembinaan dan pengembangan yang panjang, Masjidil Haram kini siap sepenuhnya, sekali gus menyediakan ruang solat lebih luas serta keselesaan maksimum kepada jemaah.

Salah satu perkembangan utama yang dinantikan adalah pembukaan semula Pintu Raja Abdul Aziz, yang menawarkan laluan terus ke Kaabah.

Pembukaan pintu itu memudahkan pergerakan jemaah terutamanya ketika musim haji dan umrah yang menyaksikan kehadiran jutaan umat Islam dari seluruh dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram