
SEORANG wanita trauma apabila mengenang kembali pengalamannya selepas melahirkan anak di sebuah hospital kerajaan pada November 2024 yang hampir meragut nyawa.
Tidak mahu para ibu lain turut menjadi mangsa wanita dengan menggunakan akaun Threadnya, @nsydnia berkongsi detik cemas itu selepas mengalami kesakitan luar biasa setelah melahirkan anak.
"Alhamdulillah anak normal dan saya masih baik, tiada masalah apa-apa. Tetapi, sampai sahaja di rumah, perut saya sakit sangat.
"Saya bersangka baik sebab orang kata bila anak menyusu rahim akan mengecut.
"Tetapi, sampai nak jalan, baring susah," tulisnya.
BACA LAGI: Jangan terus hukum, ibu bapa luang masa 15 minit selami hati anak remaja selalu memberontak
BACA LAGI: Ibu hamil jangan berpanas bawah matahari terik, kesan gelombang haba berisiko kelahiran pramatang
Situasi menjadi lebih panik selepas suaminya menyedari ketulan pelik seperti biji anggur ketika sedang membersihkan luka bersalin di kawasan kemaluannya.
Tanpa berlengah, pasangan itu mengambil keputusan untuk bergegas ke sebuah klinik berhampiran.
Lebih mengejutkannya apabila mendapati ketulan tersebut adalah sisa uri yang masih tertinggal di dalam badan.
"Doktor kata ini sisa uri dan tak normal tertinggal sisa macam ini di dalam badan.
"Boleh membusuk dan kena jangkitan kuman. Hospital ada tekan perut untuk keluarkan darah beku, tetapi tak imbas semula," tambahnya.
Wanita terbabit bagaimanapun mendakwa bahawa tiada prosedur susulan dilakukan pihak hospital selepas dia membawa surat rujukan ke jabatan kecemasan hari kejadian.
Sebaliknya, dia didakwa diminta mendaftar masuk untuk pemerhatian dan terpaksa ditahan di wad.
"Mereka pusing ayat supaya saya tak ambil tindakan dan terpaksa tanda tangan satu borang menyatakan tak mahu masuk wad.
"Saya menangis sebab tahu tak akan dapat keadilan. Tetapi, tak bolehkah sekurang-kurangnya minta maaf atas kecuaian.
"Satu kata maaf pun tak keluar dari mulut mereka yang buatkan saya terkilan sampai sekarang," katanya.
Sementara itu, sisa uri yang tertinggal dalam badan ibu boleh menyebabkan jangkitan (endometritis), pendarahan berpanjangan sehingga membahayakan nyawa sekiranya tidak dirawat segera.
Wanita berkenaan pada masa sama berharap agar pengalamannya menjadi pengajaran dan kesedaran kepada para ibu selepas melahirkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram