20 tahun tak cuci mekap dengan betul, guna air paip saja, wanita sengsara kulit muka gatal, merekah


  • Sihat
  • Sabtu, 21 Jun 2025

Seorang wanita mengalami kemerahan dan kegatalan teruk pada kulit wajah akibat tidak membersihkan solekan dengan betul sejak 20 tahun. — Agensi

GARA-GARA tidak menanggalkan solekan dengan bersih selama lebih 20 tahun, seorang wanita dari Jilin, China mengalami masalah komplikasi kulit wajah yang serius.

Individu berusia 37 tahun hanya dikenali sebagai Gao itu, mula menggunakan alat solek sejak berusia 15 tahun.

Namun, lebih dua dekad beliau mengakui tidak pernah membersihkan wajah dengan sempurna, bahkan sekadar mencuci guna air paip sahaja.

BACA LAGI: [VIDEO] Nama Pablo Amirul terukir di Hong Kong, dipilih penulis skrip Ip Man pegang watak terpaling antagonis

BACA LAGI: Tengku Puteri Jihan angkat warisan tekstil Malaysia ke pentas antarabangsa, Jihans Studio sertai UCA Grad Show 2025

Kebiasaannya, sebelum tidur Gao hanya membilas mukanya dengan air tanpa sebarang penggunaan pencuci muka atau produk penanggal solekan.

Akibat tabiat itu, kulit wajah mula menunjukkan tanda-tanda membimbangkan seperti kesan kemerahan, kegatalan, bengkak dan rekahan kulit.

Namun, tindakan Gao yang kemudiannya menjalani rawatan suntikan penggalak kulit di sebuah klinik kosmetik menambah lagi derita dihadapi.

Usai menerima rawatan tersebut, situasi bertambah teruk apabila mukanya berubah menjadi kaku, kemerahan serta kesan gatal dan panas semakin teruk.

 

Bahaya tidak bersih solekan

Menurut pakar kesihatan kulit, sisa solekan yang tidak dibersihkan dengan betul boleh mengakibatkan liang pori tersumbat dan merengsakan kulit.

Hal itu berpotensi menyebabkan pelbagai masalah seperti jerawat, alergi, kemerahan, lepuh dan jangkitan kuman.

Hangat diperkatakan di laman sosial, ada berpendapat simptom dialami Gao selari dengan kes reaksi alahan atau jangkitan virus selepas menjalani prosedur mesoterapi untuk tujuan peremajaan.

Justeru, kes tersebut menjadi peringatan penting tentang kepentingan menjaga kebersihan kulit wajah, terutama bagi wanita yang kerap memakai alat solek.

Tabiat tidak membersihkan muka dengan betul boleh memberi kesan jangka panjang yang serius terhadap kesihatan kulit.

Pakar dermatologi menasihatkan supaya orang ramai menggunakan penanggal solekan dan pencuci muka yang sesuai, serta mengelakkan sebarang prosedur kecantikan tanpa rujukan doktor perubatan bertauliah.

Kecantikan luaran tidak sepatutnya mengorbankan kesihatan dalaman kulit.

Maka, kaedah pembersihan wajah yang konsisten dan rawatan yang betul adalah langkah asas untuk mengekalkan kulit sihat, bebas komplikasi tanpa perlu bergantung kepada prosedur berisiko tinggi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram