
TAHUKAH anda di Jepun, terdapat satu fenomena unik dalam pasaran hartanah yang dikenali sebagai 'Jiko Bukken' atau Stigmatized Properties.
Ia bermaksud hartanah yang mempunyai sejarah kejadian tragis seperti kematian, bunuh diri, atau pembunuhan.
Walaupun dari segi struktur bangunan, hartanah itu mungkin dalam keadaan baik dan terletak di lokasi yang strategik.
Ia sering dijual atau disewa pada harga jauh lebih rendah berbanding hartanah biasa kerana stigma yang melekat padanya.
Konsep Jiko Bukken berakar umbi dalam kepercayaan budaya Jepun yang menganggap kematian, terutama berlaku secara tragis telah meninggalkan semangat negatif atau roh tidak tenang di dalam rumah tersebut.
Kepercayaan itu menyebabkan ramai orang Jepun enggan tinggal di rumah-rumah yang pernah menjadi saksi kepada peristiwa ngeri, walaupun tiada masalah fizikal pada hartanah itu.
Ini menyebabkan hartanah seperti itu sukar dijual atau disewa sekali gus memaksa pemiliknya menawarkan diskaun yang signifikan untuk menarik minat pembeli atau penyewa.
Menurut undang-undang Jepun, ejen hartanah diwajibkan untuk mendedahkan maklumat tentang Jiko Bukken kepada bakal pembeli atau penyewa, terutamanya jika kematian yang berlaku adalah akibat bunuh diri atau pembunuhan dalam tempoh tiga tahun terakhir.
Selepas tempoh tertentu dan jika hartanah itu sudah disewa atau dijual semula, pendedahan itu mungkin tidak lagi diwajibkan.
Namun begitu, ramai pembeli dan penyewa masih mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan penyelidikan mendalam termasuk menggunakan laman web khusus yang menyenaraikan hartanah Jiko Bukken.
Fenomena itu membuka peluang kepada golongan pelabur atau pembeli yang tidak terikat dengan kepercayaan tersebut untuk mendapatkan hartanah pada harga jauh lebih rendah.
Sesetengah individu malah memilih untuk tinggal di Jiko Bukken kerana faktor harga yang berpatutan, walaupun mereka sedar akan sejarah hartanah tersebut.
Selain faktor psikologi, terdapat juga prosedur pembersihan khas perlu dilakukan pada hartanah Jiko Bukken, terutamanya jika kematian itu sudah lama.
Dalam budaya Jepun, ritual pembersihan seperti pembakaran kemenyan juga sering dilakukan untuk menghilangkan semangat negatif dan memulihkan suasana rumah agar lebih positif.
Fenomena Jiko Bukken bukan sahaja mencerminkan keunikan budaya dan kepercayaan Jepun terhadap kematian dan roh, tetapi juga menunjukkan bagaimana aspek psikologi serta emosi boleh mempengaruhi pasaran hartanah secara nyata.
Bagi mereka yang berminat untuk membeli atau menyewa hartanah di Jepun, memahami konsep tersebut adalah penting agar dapat membuat keputusan bijak, sama ada untuk mengelak atau memanfaatkan peluang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram