[VIDEO] Tasya Kamila sokong minat Arrasya buka 'bengkel' kipas di rumah, pakar jelas 'deep interest' tanda anak bijak


  • Bonda
  • Khamis, 19 Jun 2025

Tasya (kanan) mendapati anaknya, Arrasya Bachtiar (kiri) menunjukkan minat mendalam terhadap kipas angin sejak usia bayi. 

MINAT luar biasa kanak-kanak terhadap sesuatu objek bukan sekadar kebetulan. 

Menurut pakar psikologi, kecenderungan mendalam terhadap satu perkara yang dikenali sebagai deep interest boleh menjadi petunjuk awal kepada kecerdasan tinggi, daya fokus dan kreativiti luar biasa. 

Ia juga membantu merangsang pembelajaran secara semula jadi.

BACA LAGI: Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda

BACA LAGI: Teknik interval Jepun kini 'rahsia' baharu, bantu tingkat mood, kecergasan, 3 jalan perlahan, 3 minit jalan pantas

Situasi itu turut dirasai selebriti terkenal Indonesia,Tasya Kamila apabila anak sulungnya, Arrasya Bachtiar menunjukkan minat mendalam terhadap kipas angin sejak usia bayi. 

Menariknya, minat itu bukan bermula dengan rasa suka tetapi perasaan takut yang mendalam. 

“Sebelum umur satu tahun, setiap kali nampak kipas, dulu mesti dia akan menangis. Dia sangat takut. Tetapi saya dan suami selalu pujuk dan yakinkan dia, ‘Tak apa, ini tak bahaya’. 

"Lama-kelamaan, dia sendiri akan cakap ‘bapapa’, maksudnya ‘tak apa-apa’,” kata Tasya dalam podcast YouTube bersama Raditya Dika.

Rasa takut itu kemudiannya bertukar menjadi minat sehinggakan wujud rasa obses yang luar biasa. 

Tasya dan suaminya mula menyedari perubahan sikap Arrasya yang semakin tertarik kepada kipas, sehingga menjadikannya sebagai alat pembelajaran.

“Dia bukan sekadar tengok atau pegang kipas. Dia belajar warna daripada kipas, belajar susun ikut bentuk dan saiz, kemudian mula cipta kipas sendiri dari kadbod,” katanya.

Kini, rumah mereka dipenuhi koleksi kipas iaitu ada yang dibeli, dikitar semula dan ada juga yang direka sendiri oleh Arrasya. 

Malah, Tasya menggambarkan keadaan rumah mereka sudah seperti bengkel kecil.

“Dia tahu semua komponen kipas. Kalau ada rosak pun, dia cuba baiki.

"Kadang-kadang dia reka sendiri dari barang terpakai. Kreativiti dia berkembang sangat pesat,” kata Tasya.

Kebolehan itu membuatkan Tasya mempersoalkan kewajaran anaknya miliki minat mendalam terhadap kipas. 

“Saya ada bertanya kepada pakar psikologi. Dan mereka jawab, ini sangat normal. Malah bagus. Setiap anak ada minat tersendiri. Ada yang hafal nama dinosaur, anak saya hafal jenama kipas. Itu cara dia menyerap maklumat dan belajar,” ujarnya.

Menurut pakar, minat yang spesifik dan berterusan seperti ini bukan sesuatu yang perlu dirisaukan.

Jika disokong dengan betul, ia boleh menjadi asas kepada kemahiran akademik, teknikal atau artistik anak di kemudian hari.

Tasya juga menyedari bahawa walaupun Arrasya kini mula bermain permainan video di peranti elektrik, temanya masih tidak lari daripada kipas.

“Permainan yang dia pilih pun masih tentang kipas. Jadi minat dia konsisten. Dia bukan sekadar bermain tetapi belajar,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram