
SEORANG lelaki berkongsi kisah pertunangan terpaksa dibatalkan selepas mengetahui bakal isterinya disahkan positif HIV, hanya beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan sepatutnya berlangsung.
Lelaki berkenaan enggan mendedahkan nama berkata, beliau telah menyerahkan wang hantaran sebanyak RM12,999 kepada keluarga tunangnya, selain membuat beberapa persiapan menjelang majlis pernikahan.
Menurutnya, pertunangan itu diaturkan oleh ibu bapa dan bukan atas pilihan sendiri.
Seorang lelaki tidak menyangka dia mengikat pertunangan bersama individu yang memiliki penyakit HIV. — Gambar Hiasan
Disebabkan risiko kesihatan, beliau mengambil keputusan untuk membatalkan majlis tersebut, namun bimbang akan kehilangan wang hantaran yang telah diberikan.
Mengulas isu tersebut, Peguam Syarie, Majidah Majemi menegaskan bahawa lelaki itu boleh menuntut semula wang hantaran dan sebarang bentuk ganti rugi lain di mahkamah syariah, meskipun beliau yang membatalkan pertunangan.
“Duit hantaran diberikan untuk tujuan pernikahan. Jadi, apabila perkahwinan tidak berlaku wang itu secara prinsipnya perlu dipulangkan" katanya kepada Majoriti.
Majidah berkata, walaupun kebiasaannya pihak yang memungkiri pertunangan akan menanggung ganti rugi, dalam kes itu, lelaki terbabit mempunyai alasan kukuh dan munasabah untuk menarik diri daripada meneruskan perkahwinan tersebut.
“Kalau pembatalan itu dibuat atas sesuatu faktor risiko yang memudaratkan seperti kes tadi dan lelaki itu pun menafikan dia bukan punca pasangan ada HIV, maka tuntutan di Mahkamah Syariah adalah wajar,” katanya.
Majidah Majemi menegaskan bahawa tuntutan ganti rugi pertunangan di mahkamah syariah.
Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat tiga perkara boleh dituntut oleh pihak lelaki itu di Mahkamah Syariah iaitu:
1. Tuntutan wang hantaran yang telah diserahkan kepada keluarga pihak perempuan.
2. Tuntutan pemulangan barang-barang pertunangan atau nilai gantian sekiranya barang tersebut telah tiada atau rosak.
3. Tuntutan gantirugi persiapan perkahwinan termasuk bayaran lokasi, tempahan pakaian, cetakan kad dan lain-lain.
“Yang penting, pihak lelaki perlu mempunyai bukti seperti resit pembayaran, slip pemindahan wang, gambar, dokumen pengesahan perubatan atau apa-apa bukti lain berkaitan dakwaan.
"Bukti ini akan membantu mahkamah membuat keputusan yang adil,” kata Majidah.
Perlu rujuk mahkamah syariah
Dalam hal itu, pemfailan boleh dibuat sama ada di Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah berdasarkan nilai yang ingin dituntut.
"Contohnya, nilai tuntutan RM300,000.00 dan ke bawah bagi pihak yang bermastautin di Selangor adalah dibuat di Mahkamah Rendah Syariah," kata Majidah.
Majidah berkata, jika melantik peguam, perbincangan awal antara kedua-dua pihak boleh diusahakan sebelum kes dibawa ke peringkat perbicaraan.
“Kalau ada persetujuan bersama, ia boleh direkodkan sebagai perintah mahkamah.
"Tetapi jika tiada persetujuan, kes perlu dibicarakan. Ini bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram