
DALAM dunia yang tidak pernah tidur ini, manusia turut menyesuaikan diri untuk hidup dan bekerja tanpa henti.
Sama seperti lelaki, wanita juga sering bekerja dalam jadual syif yang tidak tetap, termasuk waktu malam.
Walaupun kerja syif malam mungkin membantu kerjaya, ia juga membawa pelbagai risiko kesihatan.
BACA LAGI: Sentuhan warna vibrant, kayu unik penyeri ruang rumah Norsyela
BACA LAGI: Kawasan bandar baharu di pinggiran Lembah Klang, akses pengangkutan awam jadi keutamaan pembeli
Kajian terbaharu mendapati bahawa wanita yang bekerja syif malam lebih berisiko menghidap asma berbanding mereka yang bekerja pada waktu siang.
Kesan negatif pada wanita
Kajian itu diketuai oleh penyelidik dari Universiti Manchester, United Kingdom (UK) dan diterbitkan dalam jurnal ERJ Open Research.
Melibatkan lebih 270,000 peserta, kajian itu menunjukkan wanita yang bekerja syif malam lebih cenderung mengalami asma sederhana atau teruk.
Namun, kajian tidak menemui kaitan yang sama antara kerja syif malam dan asma dalam kalangan lelaki.
Dr Robert Maidstone, penyelidik utama, berkata, "Asma memberi kesan lebih besar kepada wanita. Wanita biasanya mengalami asma yang lebih teruk dan mempunyai kadar kemasukan hospital serta kematian akibat asma yang lebih tinggi berbanding lelaki. Dalam kajian kami sebelum ini, kami dapati risiko asma sederhana atau teruk lebih tinggi dalam kalangan pekerja syif malam, jadi kami ingin melihat perbezaan antara jantina."
Kajian menunjukkan wanita yang bekerja syif malam lebih cenderung mengalami asma sederhana atau teruk. — Gambar Hiasan/AI
Hasil kajian
Menggunakan data dari UK Biobank, penyelidik mengkaji 274,541 pekerja dan mendapati 5.3 peratus daripadanya menghidap asma, dengan 1.9 peratus mengalami asma sederhana atau teruk (menggunakan inhaler pencegah asma dan sekurang-kurangnya satu rawatan lain seperti steroid oral).
Wanita dibahagikan kepada tiga kategori iaitu bekerja hanya waktu siang, syif malam atau gabungan kedua-duanya.
Hasil kajian amat mengejutkan apabila wanita yang bekerja syif malam sahaja mempunyai risiko sekitar 50 peratus lebih tinggi untuk mengalami asma sederhana atau teruk berbanding wanita yang bekerja waktu siang.
Dr Maidstone menjelaskan, "Ini adalah kajian pertama yang menilai perbezaan jantina dalam hubungan antara kerja syif dan asma. Pekerja syif malam tetap mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk asma sederhana-teruk berbanding pekerja waktu siang.
"Kajian ini tidak dapat menjelaskan sebab hubungan ini wujud, tetapi ia mungkin disebabkan kerja syif mengganggu jam biologi badan, termasuk tahap hormon lelaki dan wanita. Testosteron tinggi sebelum ini didapati melindungi daripada asma, jadi tahap testosteron yang rendah dalam wanita mungkin memainkan peranan.
"Selain itu, lelaki dan wanita mungkin bekerja jenis syif yang berbeza, yang juga boleh mempengaruhi," jelasnya.
Kajian turut mendapati risiko asma hampir dua kali ganda dalam kalangan wanita menopaus yang tidak mengambil terapi penggantian hormon (HRT) berbanding pekerja waktu siang.
Dr Maidstone menambah, "Keputusan kami mencadangkan HRT mungkin melindungi wanita pekerja syif malam daripada asma, namun kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkan hipotesis ini melalui kajian prospektif dan ujian terkawal rawak."
Hasil kajian amat mengejutkan apabila wanita yang bekerja syif malam mempunyai risiko sekitar 50 peratus lebih tinggi untuk mengalami asma. — Gambar Hiasan/AI
Profesor Florence Schleich dari Kumpulan Pakar Penyakit Saluran Pernafasan, Asma, COPD dan Batuk Kronik di Persatuan Respiratori Eropah, yang tidak terlibat dalam kajian ini, berkata, "Asma adalah penyakit jangka panjang yang biasa dan menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia. Wanita lebih cenderung menghidap asma, mengalami asma yang lebih teruk dan lebih berisiko meninggal dunia akibat asma, tetapi punca sebenar masih belum difahami sepenuhnya.
"Kajian ini mencadangkan kerja syif malam boleh menjadi faktor risiko asma dalam kalangan wanita, tetapi tidak dalam lelaki. Kebanyakan pekerja tidak mudah untuk menukar jadual syif mereka, jadi kita memerlukan kajian lanjut untuk memahami hubungan ini dan mencari cara mengurangkan risiko bagi wanita yang bekerja syif malam," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram