Kawasan bandar baharu di pinggiran Lembah Klang, akses pengangkutan awam jadi keutamaan pembeli


  • Hias
  • Isnin, 16 Jun 2025

Kawasan yang berdekatan dengan pengangkutan awam dijangka terus menjadi tumpuan utama pembeli dan pelabur. — Gambar Hiasan

PADA era moden ini, pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian majoriti rakyat Malaysia, khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Selangor. 

Kepesatan pembangunan dan peningkatan populasi di Lembah Klang menjadikan akses kepada pengangkutan awam yang efisien satu keperluan utama bagi memudahkan pergerakan harian. 

Majoriti penduduk di kawasan itu kini lebih memilih pengangkutan awam sebagai alternatif kepada kenderaan persendirian, terutamanya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

BACA LAGI: ‘Batch SPM 08 memang tertekan’, ibu pelajar calon SPM ingatkan anak bukan robot, jangan salah langkah elak tragedi di Melaka berulang

BACA LAGI: Inovasi 'eco-composite', piuter boleh dikitar semula, inisiatif tingkat gaya hidup lestari hiasan rumah, cenderamata

Salah satu kawasan yang menjadi tumpuan utama adalah Kwasa Damansara di Selangor. 

Selain kedudukan strategik berhampiran stesen sistem transit aliran massa (MRT) Kwasa Damansara, kawasan itu menawarkan kemudahan pengangkutan yang lancar ke pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. 

Sebahagian besar penduduk di kawasan itu menikmati perjalanan yang lebih cepat dan mudah ke tempat kerja tanpa perlu bergantung kepada kenderaan sendiri. 

Pada masa sama pembangunan bersepadu yang merangkumi rumah mampu milik, kemudahan komersial dan institusi pendidikan menjadikan Kwasa Damansara pilihan popular bagi keluarga muda dan profesional yang mengutamakan gaya hidup praktikal dan moden.

Kwasa Damansara menawarkan kemudahan pengangkutan yang lancar ke pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. 

Manakala di Petaling Jaya, rangkaian pengangkutan awam yang meliputi MRT, transit aliran ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter menjadikan kawasan itu sangat menarik untuk didiami. 

Komuniti di Petaling Jaya adalah golongan profesional yang mencari kediaman berdekatan stesen transit supaya perjalanan ke pusat bandar dan tempat kerja dapat dijalankan dengan mudah dan cepat. 

Permintaan terhadap hartanah di kawasan itu terus meningkat kerana akses pengangkutan yang efisien dan kemudahan lengkap seperti pusat membeli-belah dan pejabat korporat

Permintaan terhadap hartanah di Petaling Jaya terus meningkat kerana akses pengangkutan yang efisien.

Selain itu, kawasan Shah Alam juga semakin mendapat perhatian kerana kemudahan pengangkutan awam yang baik melalui KTM Komuter dan lebuh raya utama. 

Penduduk di Shah Alam menikmati suasana perumahan yang lebih tenang dan hijau, namun masih mudah untuk ke tempat kerja di Kuala Lumpur atau kawasan lain di Selangor. 

Kelebihan itu menjadikan Shah Alam pilihan utama bagi keluarga yang mahukan keseimbangan antara kehidupan bandar dan ketenangan perumahan.

Kawasan seperti Cheras turut menjadi pilihan ramai kerana mempunyai lebih 11 stesen MRT yang menghubungkan kawasan kediaman dengan pusat bandar dan kawasan perniagaan utama. 

Majoriti penduduk di Cheras memilih untuk tinggal berhampiran stesen MRT bagi memudahkan perjalanan ke tempat kerja, sekali gus mengurangkan masa perjalanan dan kos pengangkutan.

Trend itu jelas menunjukkan bahawa majoriti penduduk Lembah Klang kini mengutamakan kemudahan pengangkutan awam dalam memilih kawasan perumahan. 

Kawasan yang mempunyai akses baik ke MRT, LRT, KTM Komuter dan bas Rapid KL bukan sahaja memudahkan perjalanan ke tempat kerja, malah meningkatkan nilai hartanah dan potensi pelaburan. 

Dengan harga rumah di Lembah Klang dijangka meningkat sekitar empat peratus hingga 15 peratus pada 2025, kawasan yang berdekatan dengan pengangkutan awam dijangka terus menjadi tumpuan utama pembeli dan pelabur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram